KUCHING, 14 Mei: Penyanyi legenda dan vokalis kumpulan rock Rusty Blade, Yantzen bakal menggegarkan acara Cat City Bike Week (CCBW) 2024 pada 25 Mei ini, jam 10 malam di pentas utama Aeroville Mall Stutong Baru, di sini.
Khabar baik buat peminat Yantzen itu diumumkan Penganjur CCBW 2024, Abang Nor Nasaruddin Abang Noorzuki dalam satu sidang media hari ini.
“Pentas CCBW 2024 pastinya lebih meriah dengan kemunculan penyanyi rock yang popular dengan lagu Tiada Lagi Aku dan Insan ini.
“Saya berharap, acara ini akan menjadi sebuah acara yang paling banyak diperkatakan pada tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Aeroville Mall Stutong Baru, Kapitan Tan Kun Gee berhasrat bahawa CCBW dapat dijadikan sebagai program tahunan untuk menarik pelancong datang ke Sarawak dan mungkin boleh melibatkan negara lain seperti Singapura dan Thailand untuk hadir bersama.
Sementara itu, Penasihat Phuket Bike Week dan bekas Presiden Harley Davidson Malaysia, TJ Roslan menjelaskan bahawa industri permotoran di Borneo perlu memanfaatkan segala fasiliti yang telah disediakan oleh kerajaan kerana seperti sebelum ini kerajaan banyak menyokong program yang dapat memupuk minat dan hobi masyarakat supaya menjadi program bertaraf dunia suatu hari nanti.
Susulan itu, terdapat program kemuncak seperti Tayar Golek Ke Gua Angin, Bau yang melibatkan 100 peserta, Ratu Cilik CCBW 2024, Upacara Penyampaian Momento dan Konsert turut diadakan pada hari kedua program tersebut.
Sekurang-kurangnya 30,000 pengunjung dijangka hadir berikutan kejayaan dua acara Bike Week pada tahun 2017 dan 2019 yang dianjurkan oleh Zafica Utama Sdn Bhd dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak. – TVS