SRINAGAR, 14 Mei: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum India di Kashmir semalam hanya merekodkan sebanyak 36 peratus, jauh di bawah purata peratusan keluar mengundi negara itu.
Namun peratusan itu merupakan angka tertinggi yang dicatat dalam tempoh tiga dekad.
Pilihan raya kali ini menjadi platform pengundi menyatakan ketidakpuasan hati dengan pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India empat tahun lalu.
Keputusan itu membahagikan Kashmir menjadi dua wilayah iaitu Jammu dan Kashmir yang kini ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan bersama Ladakh, dengan negeri-negeri tidak lagi memiliki status istimewa, selain boleh dikenakan peruntukan Perlembagaan India.
Dalam pada itu, perlindungan ke atas tanah dan pekerjaan yang diwarisi kepada penduduk asal turut dihapuskan.
Kerajaan juga mengenakan sekatan komunikasi, selain memenjarakan ratusan pemimpin politik, termasuk tiga bekas ketua menteri yang membawa kepada pemberontakan rakyat tempatan.
Penganalisis politik dan pemimpin parti pembangkang berpendapat faktor tersebut menyebabkan Parti Bharatiya Janata (BJP) memutuskan untuk tidak bertanding di Kashmir yang merupakan wilayah majoriti penduduk Islam.
Parti yang dipimpin oleh Perdana Menteri India, Narendra Modi itu memilih untuk tidak mengisi kekosongan dan menetapkan calon di tiga kerusi di Kashmir. -TVS