Ucapan penggulungan Menteri di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi
Dato Sri Julaihi Narawi
Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak (6 Mei-15 Mei 2024)
Tuan Speaker,
1. Terima kasih Tuan Speaker kerana mengizinkan saya untuk menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak.
2. Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar, di atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan pada 26 Januari yang lalu. Ucapan terima kasih dan penghargaan turut dizahirkan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang telah menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak Kesembilan Belas pada 6 Mei 2024.
3. Di kesempatan ini juga, saya ingin menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Almarhum Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud, yang telah kembali ke rahmatullah pada 21 Februari yang lepas. Saya mendoakan semoga roh Almarhum dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama di kalangan orang yang beriman. Jasa dan pengorbanan Almarhum Tun kepada Sarawak khususnya dan Malaysia amnya begitu besar sekali. Sesungguhnya Almarhum Tun telah menabur bakti kepada Sarawak dan Malaysia sepanjang hayatnya. Jasa dan pengorbanan Almarhum Tun kepada kita semua akan kita kenang selama-lamanya.
4. Saya juga turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mendiang Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Mutang Tagal, yang telah meninggal dunia pada 10 Mei minggu lepas.
5. Kementerian saya amat menghargai dan ambil maklum saranan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak agar Kerajaan Sarawak terus menitikberatkan kelestarian pembangunan yang berasaskan tonggak Post COVID-19 Development Strategy 2030 (PCDS 2030) iaitu Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kemampanan Alam Sekitar. Kami juga amat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di atas segala nasihat dan tunjuk ajar dalam menerajui Kementerian ini demi merealisasikan hasrat Kerajaan Sarawak menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
6. Pembangunan utiliti dan telekomunikasi akan diteruskan bagi mencapai liputan penuh dalam usaha menjadikan Sarawak sebagai wilayah yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030. Komitmen ini juga adalah sejajar dengan kesepakatan antarabangsa Sustainable Development Goals (SDGs) dan Environment, Social and Governance (ESG).
7. Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam mengemukakan pertanyaan dan cadangan berkaitan isu-isu di bawah tanggungjawab Kementerian saya. Segala cadangan dan komen yang telah dikemukakan akan diambil perhatian untuk tindakan sewajarnya.
BEKALAN AIR
Tuan Speaker,
8. Seterusnya saya ingin menyentuh perkembangan terkini pembangunan bekalan air di Sarawak.
Water Supply Grid Programme for Stressed Areas
9. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, sejumlah RM4 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak untuk Water Supply Grid Programme for Stressed Areas yang melibatkan 304 projek bekalan air yang kini masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
10. Setakat ini, sebahagian besar projek iaitu sebanyak 259 projek atau 85% telah disiapkan, 35 projek bersamaan 12% sedang dalam pembinaan manakala sepuluh (10) projek lagi atau tiga peratus (3%) sedang dalam perancangan.
11. Sukacita dimaklumkan di Dewan Yang Mulia ini, inisiatif tersebut memberi impak yang ketara dalam menangani masalah bekalan air yang serius terutamanya di kawasan luar bandar di seluruh Sarawak.
12. Program ini juga telah membantu melonjakkan liputan bekalan air terutamanya di kawasan luar bandar iaitu daripada 61.9% pada tahun 2018 meningkat kepada 70.5% setakat ini. Ini menjadikan liputan bekalan air seluruh Sarawak sehingga kini adalah 85.4%.
13. Kementerian saya akan terus meningkatkan usaha untuk mencapai sasaran liputan penuh bekalan air di Sarawak menjelang tahun 2030 selaras dengan Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak. Seperti yang dimaklumkan dalam persidangan yang lepas, anggaran peruntukan sebanyak RM20 bilion diperlukan bagi merealisasikan sasaran ini.
Tuan Speaker,
Projek Bekalan Air Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12)
14. Kerajaan Sarawak telah meluluskan siling peruntukan sejumlah RM595.4 juta di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas
(RMKe-12) bagi pelaksanaan 104 projek bekalan air di seluruh Sarawak.
15. Antara skop utama yang sedang dan akan dilaksanakan di bawah RMKe-12 adalah membina baharu atau menaik taraf 21 buah loji rawatan air dan pemasangan saluran paip baharu sepanjang 1,700 km. Pelaksanaan projek-projek ini amat penting bagi memastikan liputan dan fasiliti bekalan air seluruh Sarawak dapat ditingkat dan ditambah baik selaras dengan permintaan air yang kian meningkat.
16. Setakat ini, permintaan air semasa adalah 2,060 juta liter sehari (JLH). Berdasarkan kepada Pelan Induk Bekalan Air dan Grid Air Sarawak, unjuran permintaan air pada tahun 2030 adalah sebanyak 2,400 JLH.
17. Pada masa sekarang, beberapa loji rawatan air utama sedang beroperasi pada kadar rizab margin (reserve margin) yang rendah seperti Loji Rawatan Air Batu Kitang di Kuching adalah pada kadar 12% dan Loji Rawatan Air Salim di Sibu adalah pada kadar satu peratus (1%) sahaja.
18. Bagi memastikan kita mempunyai rizab margin air yang mencukupi, kita hendaklah mempunyai rizab margin air pada kadar
sekurang-kurangnya 20% daripada kapasiti loji rawatan air. Oleh itu, beberapa projek utama yang kritikal sedang dan perlu dilaksanakan segera bagi memenuhi permintaan air yang dijangka terus meningkat adalah seperti:
i) Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Batu Kitang (Loji 2) sebanyak 104 juta liter sehari (JLH) iaitu peningkatan keseluruhan kapasiti loji daripada 764 JLH kepada 868 JLH yang dijadualkan siap sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun ini;
ii) Projek menaik taraf kapasiti Loji Rawatan Air Batu Kitang (Loji 4) dengan penambahan 100 JLH yang akan meningkatkan jumlah keseluruhan kapasiti pengeluaran loji kepada 968 JLH menjelang suku keempat tahun 2026;
iii) Pembinaan loji rawatan air baharu Fasa Pertama di Landeh, Kuching yang kini dalam peringkat perancangan dianggarkan berkapasiti 200 JLH; dan
iv) Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim, Sibu daripada 150 JLH kepada 300 JLH yang baru bermula dan dijadualkan siap menjelang suku keempat tahun 2026.
Tuan Speaker,
Bekalan Air Tanjung Manis
19. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, projek Bekalan Air Tanjung Manis telah tergendala sejak sekian lama dan berjaya beroperasi pada Oktober 2023. Saya amat berbesar hati atas kesudian Yang Amat Berhormat Premier Sarawak yang telah merasmikan Bekalan Air Tanjung Manis pada 17 Februari 2024 yang lepas.
20. Dengan siapnya projek ini, sistem bekalan air Tanjung Manis mampu membekalkan air mentah dari Sibu ke Tanjung Manis sehingga 50 juta liter sehari (JLH). Kapasiti 50 JLH ini boleh dinaik taraf kepada 65 JLH jika diperlukan.
21. Daripada 50 JLH air mentah tersebut, sejumlah 30 JLH disalurkan kepada Loji Rawatan Air Tanjung Manis untuk dirawat dan seterusnya dibekalkan kepada penduduk di kawasan sekitarnya termasuk Pulau Bruit apabila sistem bekalan air di Pulau Bruit siap sepenuhnya. Manakala, 20 JLH air mentah lagi adalah untuk memenuhi keperluan kawasan industri di Tanjung Manis.
22. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, Loji Rawatan Air Tanjung Manis kini membekalkan air terawat ke kawasan seperti Pekan Tanjung Manis, Kampung Belawai, Kampung Jerijeh, Kampung Rajang, Kampung Serdeng, Kampung Sedau dan Kampung Bekakong. Pada masa sekarang, permintaan air ke kampung-kampung ini adalah sebanyak 13 JLH walaupun kapasiti sebenar Loji Rawatan Air Tanjung Manis adalah 30 JLH. Jika ada keperluan tambahan, Loji Rawatan Air Tanjung Manis boleh dinaik taraf kepada 60 JLH pada masa hadapan.
23. Selain itu, bekalan air Tanjung Manis juga akan menampung keperluan bekalan air di Pulau Bruit setelah Projek Sistem Bekalan Air Pulau Bruit siap sepenuhnya kelak.
24. Buat masa sekarang, Projek Sistem Bekalan Air Pulau Bruit yang melibatkan pembinaan tangki air aras tinggi di Semop, Saai, Penibong dan Penipah, pembinaan stesen pam penggalak Serdeng dan Saai serta pemasangan paip baharu sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.
25. Projek Bekalan Air Tanjung Manis juga akan membekalkan air ke kampung dan rumah panjang sepanjang jalan dari Tanjung Manis ke Sibu seperti yang telah diluluskan oleh Yang Amat Berhormat Premier semasa perasmian Bekalan Air Tanjung Manis pada 17 Februari 2024 yang lepas. Kelulusan ini akan memberi manfaat kepada 1,132 isi rumah. Pada masa yang sama, pelaksanaan projek ini juga akan membentuk Sistem Grid Air apabila disambungkan dengan paip agihan air (distribution pipe) Lembaga Air Sibu yang sedia ada.
26. Skop kerja untuk projek ini melibatkan pembinaan 53 km paip agihan air terawat, sebuah tangki air aras tinggi dan kerja-kerja pengukuhan struktur di tujuh (7) jambatan sedia ada untuk menempatkan laluan paip ke seberang sungai.
Tuan Speaker,
Program Menaik Taraf dan Penggantian Paip Lama/Uzur
27. Selain daripada usaha untuk melaksanakan projek-projek baharu bekalan air, Kementerian saya juga akan melaksanakan program menaik taraf dan menggantikan paip lama serta uzur di seluruh Sarawak.
28. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, sepanjang 2,742 km saluran paip air lama serta uzur masih digunakan dalam sistem agihan bekalan air di seluruh Sarawak. Ini adalah antara punca utama yang menyebabkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) yang tinggi iaitu secara purata sebanyak 43%.
29. Paip lama seperti paip Asbestos Cement (AC) yang uzur ini mudah pecah dan menyebabkan gangguan bekalan air kepada pengguna. Lazimnya, agensi bekalan air akan membuat kerja baik pulih hanya pada bahagian yang bocor sahaja memandangkan dana penyelenggaraan yang agak terhad. Kerja baik pulih seperti ini adalah bersifat sementara kerana keseluruhan saluran paip yang uzur sedia ada masih lagi diguna pakai dan cenderung untuk pecah.
30. Justeru, bagi menangani masalah ini, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.085 bilion melalui
Alternative Funding dan dilaksanakan secara berfasa di seluruh Sarawak. Daripada jumlah peruntukan tersebut, sebanyak RM247 juta telah diperuntukkan pada tahun ini untuk dilaksanakan segera.
Tuan Speaker,
Penubuhan One Entity for Sarawak Water Supply
31. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, selaras dengan hasil kajian One Entity for Sarawak Water Supply, Jawatankuasa Pemandu telah bersetuju menubuhkan Integration Management Office (IMO) yang berperanan untuk melaksana dan menyelaras penggabungan agensi bekalan air Sarawak sehingga tertubuhnya One Entity ini kelak.
BEKALAN ELEKTRIK
Tuan Speaker,
32. Sekarang saya beralih kepada perkembangan bekalan elektrik di Sarawak.
Kapasiti Bekalan Elektrik Sarawak
33. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, setakat ini, kapasiti penjanaan adalah sebanyak 5,745 Megawatt (MW). Sarawak menyasarkan kapasiti penjanaan tenaga elektrik sebanyak 10 Gigawatt (GW) (bersamaan 10,000 MW) termasuk dari sumber tenaga boleh baharu (renewable energy) menjelang 2030.
34. Kini Sarawak mempunyai campuran kapasiti penjanaan (generation capacity mix) seperti berikut:
i. tenaga hidro (62%);
ii. gas (21%);
iii. arang batu (16%); dan
iv. diesel (1%).
35. Unjuran permintaan tenaga elektrik pengguna domestik, komersial dan industri dijangka meningkat sekitar 6,700 MW pada
tahun 2030. Berdasarkan jumlah ini, sebanyak 2,460 MW (37%) adalah daripada pengguna domestik, komersial dan industri kecil manakala selebihnya 4,240 MW (63%) adalah pengguna industri di bawah Power Purchase Agreement (PPA) dan Power Exchange Agreement (PEA).
36. Antara projek utama yang sedang dalam pelaksanaan untuk meningkatkan kapasiti penjanaan adalah seperti:
i. Stesen Janakuasa Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) Miri berkapasiti 500 MW;
ii. Stesen Janakuasa CCGT Samalaju berkapasiti 1,500 MW;
iii. Stesen Janakuasa Hidroelektrik Baleh berkapasiti 1,285 MW; dan
iv. Sistem floating solar di takungan Batang Ai berkapasiti 50 MW.
Jumlah kapasiti yang akan dijana setelah siapnya kesemua empat projek ini adalah sebanyak 3,335 MW. Ini menjadikan jumlah kapasiti penjanaan meningkat kepada 9,080 MW (5,745 MW + 3,335 MW = 9,080 MW).
37. Beberapa buah projek lain sedang dikenal pasti untuk meningkatkan kapasiti penjanaan termasuk sumber tenaga boleh baharu seperti sistem floating solar di takungan hidro yang lain, sumber tenaga melata (cascading power sources), penjanaan elektrik daripada tangki air aras tinggi (elevated water tank) dan alunan ombak (tidal wave).
Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB)
38. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, liputan bekalan elektrik luar bandar di seluruh Sarawak setakat ini adalah 98.4%. Kementerian saya akan terus berusaha untuk mencapai sasaran liputan penuh bekalan elektrik melalui peruntukan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan yang telah diluluskan.
39. Selain itu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM50.5 juta di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12).
40. Di bawah peruntukan ini, Kementerian saya melalui Sarawak Energy kini sedang melaksanakan projek-projek seperti berikut:
i. projek sambungan Off Grid Sarawak Alternative Rural Electrification Schemes (SARES) ke sistem Grid Sarawak;
ii. penggantian komponen utama sistem SARES; dan
iii. kerja-kerja survei untuk talian pengagihan voltan sederhana (Medium Voltage Covered Conductor – MVCC) dari Tunoh ke Gaat.
Tuan Speaker,
Sumber Alternatif Tenaga Baharu
41. Kerajaan Sarawak sedang giat menerokai potensi sumber alternatif tenaga baharu untuk dilaksanakan.
42. Salah satu sumber alternatif tenaga baharu adalah melalui pembangunan sumber tenaga melata (cascading power sources).
Sebanyak 12 lembangan sungai (river basin) telah dikenal pasti dengan potensi kapasiti penjanaan sebanyak 3,000 MW.
43. Sehubungan dengan 12 cadangan cascading power sources yang saya maksudkan tadi, sebagai permulaan Kementerian saya dan Sarawak Energy sedang giat melaksanakan sesi libat urus bersama komuniti di sekitar Sungai Tutoh, Sungai Gaat, Sungai Belaga dan Sungai Trusan. Ingin saya tegaskan, projek-projek ini masih di peringkat cadangan dan hanya akan dilaksanakan sekiranya mendapat persetujuan daripada penduduk setempat.
44. Kementerian saya melalui Sarawak Energy juga sedang mengkaji potensi penjanaan elektrik daripada tangki air aras tinggi dan alunan ombak (tidal wave). Satu projek perintis penjanaan elektrik daripada tangki air aras tinggi dijangka akan dilaksanakan di Stumbin, Sri Aman. Manakala, kaedah penjanaan elektrik daripada alunan ombak juga sedang dalam kajian awalan di jeti Samalaju, Bintulu dan di persisiran pantai lain yang bersesuaian.
SEB sebagai Pembeli Tunggal (Single Buyer) Elektrik di Sarawak
45. Seperti ahli Dewan sedia maklum, dengan pewartaan Pindaan Ordinan Elektrik 2023 yang telah berkuatkuasa pada 1 Februari 2024, Sarawak Energy iaitu pemilik talian Grid Utama Sarawak telah dilantik sebagai Single Buyer di Sarawak bagi memudahcara perolehan penjanaan tenaga elektrik dan juga memastikan kestabilan Grid Sarawak sentiasa terpelihara.
46. Pindaan Ordinan Elektrik, 2023 ini akan terus menyokong perkembangan sektor tenaga boleh baharu di Sarawak dengan menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam penjanaan tenaga boleh baharu seperti tenaga solar, sumber tenaga melata dan biomas.
47. Perkembangan sektor tenaga boleh baharu di Sarawak ini adalah sejajar dengan Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga boleh baharu di rantau ASEAN.
Tuan Speaker,
Eksport Tenaga Elektrik ke Singapura dan Semenanjung Malaysia
48. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, Mesyuarat Majlis Jemaah Menteri Kerajaan Persekutuan pada 15 Februari 2024 telah meluluskan cadangan Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan projek sambung tara (interconnection) elektrik yang berkapasiti sehingga 1,000 MW ke Singapura melalui kabel dasar laut. Kabel ini akan merentasi kawasan pengairan koridor Muri-Midai sepanjang 720 km. Selain itu, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan cadangan projek sambung tara dengan kapasiti tidak kurang daripada 1,000 MW dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia.
49. Status terkini projek sambung tara bekalan elektrik dari Sarawak ke Singapura berada pada peringkat penyelidikan teknikal termasuk kerja-kerja tinjauan laluan kabel dasar laut (undersea cable survey work). Projek kabel ini akan ditaja jamin (underwritten) oleh Singapura. Projek sambung tara ini dijangka beroperasi secara komersial pada tahun 2031.
50. Manakala, cadangan projek sambung tara bekalan elektrik dari Sarawak ke Semenanjung masih di peringkat kajian awalan oleh Sarawak Energy dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Eksport Tenaga Elektrik ke Sabah
51. Projek sambung tara bekalan elektrik ke Sabah akan menghubungkan stesen pencawang Lawas yang baharu di Sarawak ke stesen pencawang Mengalong di Sabah melalui talian penghantaran 275 kV sepanjang 34 km. Projek ini dijangka beroperasi pada suku keempat 2024. Walau bagaimanapun, ianya adalah bergantung kepada siapnya penyambungan talian penghantaran dari Miri ke Daerah Lawas di bawah projek Northern Grid Extension.
52. Projek Northern Grid Extension sepatutnya siap pada bulan Mei tahun ini tetapi tergendala disebabkan oleh masalah izin lalu (wayleave) di Long Latei, Long Meraan, Long Seridan, Long Kawa, dan Long Selulong. Sambungan talian penghantaran ke Grid Sarawak melalui projek Northern Grid Extension dari Miri ke Daerah Lawas hanya akan dapat disiapkan pada penghujung tahun ini sekiranya masalah izin lalu dapat diselesaikan. Saya menyeru semua pihak agar memberi kerjasama supaya masalah izin lalu ini dapat diatasi segera.
Prestasi Talian Pengagihan Elektrik Luar Bandar
53. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, elektrik ke kawasan luar bandar Sarawak dibekalkan melalui talian pengagihan yang panjang, sering kali mengalami gangguan. Sarawak Energy telah mengenal pasti punca utama gangguan seperti keadaan cuaca buruk, sambaran kilat, gangguan haiwan, sentuhan pokok, kerosakan pada talian atas, peralatan dan perantian serta sistem terlebih bebanan (overloading).
54. Justeru, satu (1) pelan tindakan menyeluruh merangkumi pelbagai kaedah untuk mengatasi gangguan serta memastikan kestabilan bekalan elektrik terutamanya kawasan luar bandar sedang giat dilaksanakan oleh Sarawak Energy. Antara tindakan yang sedang diambil adalah seperti berikut:
i. memasang talian pengagihan berpenebat (insulated) seperti Medium Voltage Covered Conductor (MVCC), Aerial Bundle Cable (ABC) atau kabel bawah tanah untuk mengelak daripada gangguan terutamanya sentuhan pokok, sambaran kilat atau pencerobohan binatang kepada talian-atas;
ii. menyelaras perancangan Rancangan Elektrik Luar Bandar di antara Kementerian saya bersama Sarawak Energy bagi menambah baik sistem bekalan elektrik ke kawasan luar bandar yang hendak dibangunkan;
iii. penambahbaikan proses operasi dan penyelenggaraan melalui penggunaan teknologi digital untuk membolehkan pengesanan lebihan bebanan dan menaik taraf alat-ubah (transformer) dengan lebih efektif;
iv. digitalisasi sistem pengesanan seperti memasang Auto Recloser (AR), Line Fault Indicator (LFI), Motorised Ring Main Unit (MRMU) dan peranti pintar yang lain bagi mempercepatkan proses pengesanan kerosakan, tindakan pemulihan dan memendekkan masa gangguan bekalan elektrik; dan
v. mengkaji semula polisi sedia ada untuk naik taraf sistem pengagihan seperti alat-ubah (transformer) memandangkan
gaya hidup penduduk luar bandar yang sudah berubah dan seterusnya mempengaruhi corak penggunaan peralatan elektrik yang pelbagai.
Tuan Speaker,
Gangguan Sementara Bekalan Elektrik Untuk Operasi Berjadual
55. Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat di Dewan Yang Mulia ini, gangguan sementara bekalan elektrik berlaku disebabkan kerja atau operasi berjadual oleh Sarawak Energy seperti berikut:
i. penyambungan bekalan elektrik ke rumah baharu di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) termasuk ALAF (Additional and Late Applicant Fund);
ii. kerja-kerja penyelenggaraan peralatan dan peranti elektrik sedia ada agar berfungsi dengan baik;
iii. pelaksanaan kerja-kerja pengujian dan pentauliahan (testing and commissioning) bagi talian yang baharu; dan
iv. kerja-kerja pembinaan yang melibatkan pihak ketiga seperti pemasangan paip air, kabel telekomunikasi dan pembinaan jalan.
56. Notis gangguan sementara bekalan elektrik akan dikeluarkan melalui media cetak tempatan dan media elektronik sekurang-kurang dua (2) hari sebelum bekalan ditutup. Saya juga menyeru semua Ahli-Ahli Yang Berhormat supaya ambil peduli tentang notis ini. Saya mencadangkan agar semua Ahli Yang Berhormat, Residen dan Pegawai Daerah untuk mendaftar secara percuma melalui aplikasi ‘SEB cares’ bagi mendapat notifikasi mengenai gangguan bekalan elektrik serta melaporkan sebarang gangguan elektrik.
Additional and Late Applicant Fund (ALAF)
57. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, sehingga kini sebanyak 21,073 isi rumah telah diluluskan untuk dilaksanakan di bawah projek ALAF. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 17,617 isi rumah bersamaan dengan 84% telah siap dilaksanakan dan sebanyak 2,806 isi rumah bersamaan dengan 13% sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan. Manakala, sebanyak 650 isi rumah bersamaan dengan tiga peratus (3%) masih lagi dalam peringkat survei dan reka bentuk.
58. Kementerian saya ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang baru-baru ini telah meluluskan dana tambahan sebanyak RM85 juta bagi meneruskan projek ALAF ini.
59. Untuk makluman semua Ahli Yang Berhormat, setakat ini sejumlah 14,000 isi rumah layak untuk penyambungan bekalan elektrik di bawah Skim ALAF yang memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM350 juta bagi meneruskan projek ini di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
Tuan Speaker,
Tarif Bekalan Elektrik Sarawak Terendah di Malaysia
60. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, kadar purata tarif elektrik di Sarawak adalah 28.05 sen per kilowatt-jam berbanding 34.5 sen per kilowatt-jam di Sabah dan 40 sen per kilowatt-jam di Semenanjung Malaysia. Kadar ini adalah terendah di Malaysia dan merupakan antara kadar yang terendah di rantau ini.
61. Semasa penularan wabak Covid-19 yang lepas, Kerajaan Sarawak telah memberi inisiatif diskaun bil elektrik Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi meringankan beban rakyat semasa berhadapan dengan cabaran wabak ini. Sebanyak RM1.28 bilion telah dibelanjakan untuk inisiatif tersebut. Memandangkan keadaan telah kembali normal, maka diskaun bil elektrik BKSS yang tamat pada 31 Disember 2023 tidak diteruskan lagi.
PENGEDARAN GAS
Tuan Speaker,
62. Seterusnya, saya akan menyentuh berkenaan Pengedaran Gas.
Pelantikan PETROS sebagai Gas Aggregator
63. Pada November 2023, pindaan kepada Distribution of Gas (Amendment) Ordinance, 2023 telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini di mana Gas Aggregator akan dilantik bagi meningkatkan penggunaan gas asli dan memastikan keperluan bekalan gas asli adalah mencukupi untuk kegunaan di Sarawak.
64. Selaras dengan pindaan tersebut, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat milik kerajaan Sarawak telah dilantik sebagai Gas Aggregator Tunggal berkuatkuasa mulai 1 Februari 2024. Pihak PETROS akan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak. PETROS juga akan bertanggungjawab mengawasi pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem rangkaian pengedaran gas asli di Sarawak.
65. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, semua pihak yang melakukan aktiviti-aktiviti pengedaran gas asli hendaklah mendapatkan lesen daripada Kerajaan Sarawak mengikut keperluan Distribution of Gas Ordinance, 2016 serta pindaan Distribution of Gas (Amendment) Ordinance, 2023 dan bekerjasama dengan PETROS sebagai Gas Aggregator. Kegagalan mana-mana pihak untuk mematuhi peruntukan Seksyen 7, Distribution of Gas Ordinance, 2016 adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20 yang boleh dikenakan denda atau hukuman penjara atau kedua-duanya sekali.
66. Sebelum ini, PETRONAS membeli gas asli daripada semua pengeluar gas huluan (Upstream) melalui Upstream Gas Supply Agreements (UGSA) dan menjual gas tersebut melalui perjanjian kontrak kepada pengguna di Sarawak seperti loji-loji LNG di Bintulu dan Sarawak Energy untuk penjanaan tenaga.
67. PETRONAS telah menjalankan aktiviti jual beli gas asli melalui perjanjian dengan pengeluar gas huluan (Upstream) dan pembeli gas hiliran (Downstream). Kegiatan ini tidak sejajar dengan Distribution of Gas Ordinance, 2016 (DGO 2016) yang telah berkuatkuasa sejak 2018 kerana PETRONAS tidak pernah memohon sebarang lesen untuk membeli dan menjual gas asli di Sarawak.
Tuan Speaker,
68. Maka Kerajaan Sarawak memutuskan bahawa terdapat keperluan bagi Sarawak untuk mempunyai Gas Aggregator sendiri. Oleh sebab itu, PETROS iaitu sebuah syarikat milik Sarawak dalam industri minyak dan gas telah dilantik bagi menjalankan tanggungjawab tersebut.
69. Dengan pelantikan PETROS sebagai Gas Aggregator Tunggal, PETRONAS hendaklah menghentikan sebarang aktiviti jual beli gas asli di Sarawak serta menyerahkan rangkaian dan sistem pengedaran gas asli mereka kepada PETROS. Sekaligus, PETROS akan mengambil alih peranan tersebut daripada PETRONAS bukan sahaja sebagai pembeli dan penjual gas asli malah seterusnya PETROS akan menjalankan semua aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan dan pengedaran gas asli yang dihasilkan di Sarawak. Tempoh peralihan ini akan berlangsung dari 1 Julai 2024 sehingga 1 Januari 2025.
70. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, PETRONAS telah mengambil maklum peranan PETROS sebagai Gas Aggregator Tunggal di bawah Distribution of Gas (Amendment) Ordinance, 2023. Kedua-dua belah pihak PETROS dan PETRONAS telah bersetuju untuk menandatangani Definitive Agreement menjelang 1 Julai 2024. Ini akan membolehkan PETROS memuktamadkan Gas Purchase Agreements (GPA) dengan semua pengeluar gas huluan (Upstream) dan Gas Sales Agreements (GSA) dengan semua pembeli atau pengguna gas hiliran (Downstream) menjelang 1 Julai 2024.
71. Oleh itu, bermula dari 1 Julai 2024, PETROS sebagai Gas Aggregator Tunggal akan membeli gas asli yang dihasilkan di Sarawak dari semua pengeluar gas huluan (Upstream) dan menjual gas tersebut kepada semua pembeli gas hiliran (Downstream) termasuk loji pemprosesan Liquefied Natural Gas (LNG) di Sarawak. Ini membolehkan pembekalan LNG secara berterusan oleh pihak loji pemprosesan bagi memenuhi kontrak sedia ada mereka dengan pembeli LNG luar negara seperti di Jepun dan Korea. Seterusnya, ia akan memastikan tiada kerugian kewangan yang akan ditanggung oleh pihak pelabur sedia ada.
72. Berkenaan dengan kontrak baharu untuk penjualan LNG kepada pembeli, loji pemprosesan LNG di Sarawak perlu memeterai kontrak baharu dengan PETROS berhubung dengan syarat pembekalan dan penghantaran gas LNG ke luar Sarawak.
73. Selain itu, PETROS juga bertanggungjawab untuk memastikan bekalan gas asli mencukupi bagi kegunaan seperti:
i) penjanaan kuasa;
ii) proses pengeluaran metanol;
iii) penubuhan dan pembangunan Kuching Gas Hub;
iv) memperluaskan pengeluaran atau pembekalan gas asli di kawasan pelantar benua (continental shelf) untuk memenuhi permintaan; serta
v) lain-lain aktiviti berkaitan gas asli di Sarawak pada masa hadapan.
74. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian saya telah mengadakan sesi libat urus bersama PETROS dengan penyertaan 23 pengeluar gas huluan (Upstream) dan sembilan (9) pembeli gas hiliran (Downstream) pada bulan April yang lepas.
75. Secara ringkasnya, manfaat pelantikan PETROS sebagai Gas Aggregator Tunggal adalah seperti berikut:
i) menyumbang sumber pendapatan baharu untuk Sarawak;
ii) memberi keutamaan untuk membolehkan pelaksanaan Sarawak Gas Roadmap;
iii) peruntukan gas asli untuk kegunaan domestik dan perkembangan industri hiliran;
iv) membangunkan infrastruktur dan rangkaian pengedaran gas asli Sarawak termasuk pembangunan Kuching Gas Hub baharu;
v) memastikan bekalan yang mencukupi dan harga gas asli yang berpatutan untuk pasaran di Sarawak; dan
vi) memberi peluang kepada rakyat Sarawak serta syarikat Sarawak mengambil bahagian dalam industri pengedaran gas asli.
Tuan Speaker,
PETROSNiaga Pengedar Tunggal LPG Bersubsidi di Sarawak
76. Bermula Disember 2023, PETROSNiaga iaitu syarikat tempatan yang dimiliki oleh PETROS (51%) dan PETRONAS Dagangan Berhad (49%), telah menguasai sepenuhnya pasaran silinder LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) yang berharga RM26.60 untuk isi kandungan gas di Sarawak. Seramai 67 pengedar gas dan 300 sub-pengedar gas di Sarawak telah dilantik oleh PETROSNiaga bagi memastikan pengguna di Sarawak mempunyai akses berterusan kepada bekalan silinder LPG bersubsidi.
77. Setakat April 2024, PETROSNiaga telah menukar silinder kuning kepada silinder LPG PETROS kira-kira 520,000 silinder daripada pengguna dan proses penukaran secara one-to-one tanpa caj tambahan masih lagi berterusan. Kini terdapat kira-kira 1.8 juta silinder LPG bersubsidi di Sarawak.
78. Selain itu, bagi meningkatkan kesedaran dan keselamatan penggunaan silinder LPG, Kementerian saya bersama PETROS telah mengadakan sesi libat urus bersama komuniti di kawasan Kuching, Sibu, Daro, Mukah, Julau, Pakan dan Sebuyau, seperti program Sinei-Sinei PETROS Bersama RTM.
Tuan Speaker,
Sarawak Gas Roadmap
79. Kementerian saya, melalui PETROS, akan menjalankan usaha berterusan untuk meningkatkan penggunaan gas asli di Sarawak selaras dengan Sarawak Gas Roadmap (SGR). Pelan SGR ini merangkumi empat (4) hab strategik di Kuching, Bintulu, Samalaju dan Miri melalui beberapa inisiatif awal seperti berikut;
i) Stesen Janakuasa Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) berkapasiti 500 Megawatt (MW) di Miri yang kini telah mendapat kelulusan Final Investment Decision (FID);
ii) Bintulu-Samalaju Gas Pipeline sepanjang 65 km bagi membekalkan gas asli dari Bintulu ke kawasan Perindustrian Samalaju (SIP) dan Stesen Janakuasa CCGT Sarawak Energy di Samalaju berkapasiti 1,500 MW yang kini dalam peringkat penilaian tender;
iii) Projek Sarawak Virtual Pipeline System (VPS) yang menggunakan kaedah trak yang dilengkapi tangki kriogenik (cryogenic tank) untuk penghantaran Gas Asli Cecair (Liquefied Natural Gas – LNG) dari Bintulu ke bandar-bandar utama di Sarawak yang kini pada fasa perbincangan komersial; dan
iv) Menjadikan Bahagian Kuching sebagai Low-Carbon Gas Hub menjelang tahun 2030.
80. Melalui inisiatif Sarawak Gas Roadmap (SGR) ini, penggunaan gas asli di Sarawak yang kini hanya berada pada tahap enam peratus (6%) mampu ditingkatkan kepada 30% atau lebih menjelang tahun 2030. Pelan Sarawak Gas Roadmap (SGR) ini dijangka akan menarik pelaburan ke Sarawak, menghasilkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
TELEKOMUNIKASI
Tuan Speaker,
81. Seterusnya, saya akan menyampaikan perkembangan dan pembangunan telekomunikasi di Sarawak.
Liputan Telekomunikasi di Sarawak
82. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, kita menganggarkan sebanyak 7,000 buah menara dan struktur telekomunikasi diperlukan untuk mencapai liputan penuh di kawasan berpenduduk (populated area) menjelang tahun 2030.
83. Untuk mencapai matlamat ini, inisiatif Sarawak Linking Urban, Rural and Nation (SALURAN) melalui projek Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) dan inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dilaksanakan masing-masingnya oleh Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
84. Selain daripada projek di bawah inisiatif SALURAN (menara SMART) dan JENDELA yang dibiayai oleh kerajaan, terdapat juga menara dan struktur telekomunikasi yang dibiayai secara komersial oleh syarikat penyedia perkhidmatan.
85. Setakat ini Sarawak mempunyai 4,447 buah menara dan struktur telekomunikasi yang telah siap berbanding dengan 4,217 buah menara seperti yang dimaklumkan dalam sesi persidangan Dewan Undangan Negeri November tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 5.5%. Sebanyak 3,791 buah menara dan struktur tersebut telah beroperasi (on-air) dan bakinya sebanyak 858 buah menara dan struktur lagi akan beroperasi secara berperingkat sehingga suku kedua tahun 2025.
86. Seperti yang telah saya jelaskan dalam persidangan DUN yang lepas, pembinaan sesebuah menara telekomunikasi mengambil masa sekurang-kurangnya 18 bulan dan melibatkan dua (2) peringkat.
87. Menara yang telah siap bermaksud menara yang telah selesai peringkat pertama, iaitu kerja-kerja pembinaan menara secara fizikal yang mengambil masa sembilan (9) bulan pertama.
88. Menara yang beroperasi atau on-air pula bermaksud menara yang telah selesai peringkat kedua, iaitu kerja-kerja pemasangan peralatan telekomunikasi sehingga boleh diguna pakai yang juga mengambil masa sembilan (9) bulan berikutnya.
89. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, Sarawak kini mempunyai liputan perkhidmatan internet sebanyak 80.9% berbanding 76.3% seperti yang telah dilaporkan pada persidangan DUN yang lepas.
90. Liputan perkhidmatan internet di Sarawak melibatkan tiga (3) teknologi utama iaitu:
i) jalur lebar tetap (fixed broadband);
ii) jalur lebar mudah alih (mobile broadband); dan
iii) jalur lebar satelit (satellite broadband).
91. Jalur lebar tetap merujuk kepada perkhidmatan internet berkelajuan tinggi melalui teknologi rangkaian berwayar (wired network) seperti gentian optik.
92. Perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula merujuk kepada perkhidmatan internet yang mengguna pakai gelombang radio (radio-frequency, RF) sebagai medium penghantaran, seperti teknologi 4G dan 5G.
93. Manakala, perkhidmatan jalur lebar satelit pula merujuk kepada perkhidmatan internet yang mengguna pakai sistem rangkaian komunikasi satelit (satellite broadband network) di mana isyarat gelombang radio dihantar di antara stesen bumi, satelit dan pengguna.
94. Kesemua menara telekomunikasi yang disasarkan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga tahun 2030. Walau bagaimanapun, Kerajaan Sarawak bersama Kerajaan Persekutuan akan meneroka teknologi baharu bagi mempercepat usaha penyediaan perkhidmatan internet bagi mencapai liputan penuh di Sarawak.
Tuan Speaker,
Pengoperasian Menara SMART di Luar Bandar
95. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan program intervensi di bawah inisiatif SALURAN (termasuk SMART) dengan peruntukan awal sebanyak RM1.89 bilion yang kini meningkat kepada RM2.25 bilion.
96. Sebanyak 512 daripada 600 buah menara telekomunikasi SMART iaitu bersamaan 85.3% telah siap dibina. Daripada jumlah tersebut, 307 buah menara SMART telah beroperasi menyediakan kedua-dua perkhidmatan 4G dan Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) atau MySRBN sahaja, iaitu bersamaan 51% daripada jumlah keseluruhan menara tersebut. Bakinya akan terus dibina dan beroperasi secara berperingkat. As of now, the number could be more than 307 towers, because the number of towers installed with telecommunication equipment and on-air are progressively increasing by the day.
Perkembangan Inisiatif Pelan JENDELA
97. Menyentuh mengenai JENDELA di bawah Kerajaan Persekutuan, sebanyak 764 daripada 878 buah menara telekomunikasi iaitu bersamaan 87% di bawah Pelan JENDELA Fasa 1 telah siap dibina, di mana 313 buah menara tersebut telah beroperasi sepenuhnya dengan perkhidmatan 4G. Bakinya akan terus dibina dan beroperasi secara berperingkat.
98. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan melalui MCMC sedang merancang Pelan JENDELA Fasa 2 dengan mengambil kira teknologi baharu bagi mencapai liputan internet penuh di Sarawak.
Repeater Tower dan Collector Site
99. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, bukan semua menara telekomunikasi boleh berfungsi menyediakan isyarat untuk membuat panggilan. Ingin saya berkongsi pengetahuan tentang menara telekomunikasi.
100. Menara pengulang (repeater tower) berfungsi membawa isyarat (signal) dari satu menara ke menara yang lain. Menara ini tidak menyediakan liputan mudah alih dan ia biasanya dibina di kawasan tinggi dan terpencil. Setakat ini, terdapat 102 buah menara pengulang di bawah insiatif JENDELA dan SMART.
101. Menara collector site merupakan menara yang mengumpul dan mengurus trafik rangkaian (network traffic) dari menara-menara di sekitarnya. Sekiranya menara ini mengalami kerosakan atau insiden vandalisme, rangkaian atau liputan di menara-menara lain yang dihubungkan dengan collector site tersebut akan turut terjejas.
Pelaksanaan Rangkaian 5G
102. Kerajaan Persekutuan melalui Digital Nasional Berhad (DNB) telah memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk kos pembangunan dan pengoperasian bagi melaksanakan perkhidmatan 5G di Sarawak bermula tahun 2021 sehingga tahun 2030.
103. Setakat ini, sebanyak 454 daripada jumlah keseluruhan 584 buah tapak 5G telah beroperasi dan bakinya dijangka akan beroperasi menjelang suku kedua tahun ini. Dengan siapnya semua tapak projek ini kelak, ianya akan menyumbang kepada 64.8% liputan 5G di Kawasan Berpenduduk (Coverage of Populated Area – COPA) terutamanya di kawasan bandar di Sarawak.
Sesi Libat Urus
104. Sebagai usaha berterusan untuk menjelaskan kepada masyarakat mengenai pembangunan telekomunikasi di Sarawak, Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah mengadakan tiga (3) sesi libat urus di Bahagian Sri Aman, Sibu dan Miri pada tahun 2023 bersama-sama dengan Kementerian saya, Agensi Nuklear Malaysia (ANM), Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), MCMC dan DNB. Ini bertujuan untuk memberi penerangan berdasarkan fakta mengenai pembangunan telekomunikasi kepada masyarakat. Bagi tahun ini, SMA juga akan mengadakan dua (2) lagi sesi libat urus di Bahagian Kuching dan Bintulu.
Tuan Speaker,
Digital Community Centre (DCC) dan National Information Dissemination Centre (NADI)
105. Sebanyak 44 buah DCC di bawah kendalian Kerajaan Sarawak melalui PUSTAKA dan 133 buah pusat NADI, yang dahulunya dikenali sebagai PEDi di bawah seliaan MCMC telah beroperasi di seluruh Sarawak. Kedua-dua DCC dan NADI ini bermatlamat membina kemahiran penduduk luar bandar dalam bidang ICT dan keusahawanan digital. Sebanyak 23 buah pusat NADI tambahan akan dibangunkan di Sarawak pada tahun 2024 yang sekaligus akan menjadikan keseluruhan pusat NADI berjumlah 156 buah.
106. Sehingga kini, sebanyak 324,000 pengguna di Sarawak telah mendapat faedah melalui latihan ICT di pusat DCC dan NADI. Ini memberi peluang kepada komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran dalam IT dan menggunakan platform digital bagi mengembangkan perniagaan mereka.
HALA TUJU
Tuan Speaker,
107. Seperti tahun-tahun yang lepas, Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi sekali lagi diberi tanggungjawab untuk mengelolakan persidangan antarabangsa seperti berikut:
i) International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2024; dan
ii) Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2024.
International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2024
108. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, persidangan International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) yang ketujuh akan dilangsungkan di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak pada 17 sehingga 18 Oktober tahun ini yang bertemakan “AI for Sustainable Development: Navigating the Green and Circular Future”. IDECS 2024 berfungsi sebagai platform di mana pemimpin global, inovator dan pihak berkepentingan bersidang untuk meneroka potensi transformasi kecerdasan buatan (AI) dalam memacu pembangunan lestari.
Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2024
109. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, persidangan Borneo International Water and Wastewater Exhibition and Conference (BIWWEC) 2024 akan dilangsungkan di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak pada 23 sehingga 25 Oktober tahun ini yang bertemakan “Bridging Solutions for Water Sustainability”. Persidangan ini diadakan bertujuan sebagai pemangkin inovasi, memupuk kerjasama dan meningkatkan kelestarian sektor air yang akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi serantau serta menjadi peneraju kemampanan alam sekitar.
Tuan Speaker,
Pendigitalan
110. Portal e-Customer Experience (eCX) telah dilancarkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) pada tahun 2020 berfungsi sebagai sistem pengurusan berpusat secara digital bagi permohonan bekalan elektrik. Portal eCX menguruskan permohonan secara end-to-end dengan memberi kemudahan kepada perunding dan kontraktor dalam proses permohonan bekalan elektrik. Selain itu, pemohon dan pihak berkepentingan dalam permohonan tersebut juga boleh diberi akses untuk memeriksa status permohonan secara real-time tanpa perlu hadir secara fizikal ke kaunter pelanggan seperti dahulu.
111. Penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh Sarawak Energy termasuklah permohonan Net Energy Metering (NEM), permohonan bekalan elektrik luar bandar dan ALAF serta pembayaran atas talian. Usaha pendigitalan ini telah meningkatkan kualiti perkhidmatan pengagihan dan peruncitan (retail) bekalan elektrik kepada pengguna seluruh Sarawak.
CABARAN
Tuan Speaker,
Masalah izin lalu
112. Dalam usaha untuk meneruskan pelaksanaan projek pembangunan utiliti dan telekomunikasi, Kementerian saya masih menghadapi cabaran berhubung dengan isu izin lalu (wayleave) daripada pemilik tanah persendirian, syarikat perladangan, syarikat konsesi hutan dan agensi lain yang berkaitan.
113. Ini amatlah mendukacitakan kerana masalah izin lalu ini menjadi batu penghalang kepada projek-projek yang penting untuk rakyat di Sarawak. Di Dewan Yang Mulia ini, saya sekali lagi menyeru kerjasama semua pihak agar masalah izin lalu dapat diatasi sekaligus memastikan kelancaran pelaksanaan projek dalam jangka masa yang dirancang.
114. Kementerian saya bersama agensi berkaitan sentiasa komited dalam mengadakan sesi libat urus bersama komuniti, wakil syarikat dan agensi lain bagi memastikan ketersediaan tapak pelaksanaan projek yang boleh membawa manfaat kepada rakyat Sarawak. Sekiranya tiada persetujuan dan kerjasama daripada pihak-pihak yang terlibat, maka pihak Kerajaan akan memastikan tindakan sewajarnya di ambil selaras dengan pindaan kepada Electricity Ordinance yang telah diluluskan pada persidangan yang lepas.
Tuan Speaker,
Vandalisme
115. Isu vandalisme terhadap kemudahan utiliti dan telekomunikasi adalah salah satu isu dan cabaran yang perlu dititik berat dan diselesaikan segera.
116. Pada tahun 2023, kes vandalisme yang melibatkan kemudahan infrastruktur utiliti seperti elektrik, air dan telekomunikasi telah mencecah 1,406 kes. Ini telah mengakibatkan kerugian yang besar hampir RM20 juta kepada agensi-agensi utiliti dan telekomunikasi. Perbuatan mencuri dan merosakkan aset utiliti dan telekomunikasi amatlah membimbangkan kerana ia bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan bekalan elektrik, air dan telekomunikasi, malah juga membahayakan keselamatan diri pelaku serta orang awam.
117. Apa yang lebih menyedihkan, terdapat menara telekomunikasi yang baru disiapkan dan sedia untuk beroperasi tetapi malangnya peralatan menara tersebut telah dirosakkan dan dicuri. Ini telah memusnahkan harapan orang awam untuk menikmati kemudahan perkhidmatan telekomunikasi tersebut.
118. Oleh itu, Kementerian saya bersama dengan agensi-agensi yang berkaitan akan mengadakan Kempen Mencegah Vandalisme secara besar-besaran dalam usaha membendung vandalisme ke atas aset utiliti dan telekomunikasi di seluruh Sarawak. Saya juga menyeru agar semua Ahli Dewan Yang Mulia ini untuk sama-sama menyokong dan turut serta dalam kempen ini bagi membanteras jenayah vandalisme.
119. Kementerian saya menghargai keprihatinan Ahli-ahli Yang Berhormat terhadap isu vandalisme dan saya menyeru agar kita bersama menggembleng tenaga dalam usaha membendung jenayah vandalisme. Kita juga menyeru kerjasama pihak pembeli barangan lusuh (second hand item dealers) untuk membantu kita dengan memastikan sumber barangan yang dibeli adalah daripada sumber yang tidak dicurigai. Selain itu, saya berharap Akta Peniaga Sekenhend, 1946 (Second-Hand Dealers Act, 1946) turut dikuatkuasakan di Sarawak dengan lebih efektif.
Kawal Selia dan Penguatkuasaan Ordinan
120. Untuk makluman Ahli Dewan Yang Mulia ini, kawal selia dan pengukuhan penguatkuasaan juga sedang giat dijalankan oleh Kementerian saya bagi memastikan kehendak undang-undang seperti yang termaktub dalam Water Ordinance, 1994, Electricity Ordinance, 2007 dan Distribution of Gas Ordinance, 2016 (DGO 2016) sentiasa dipatuhi.
121. Selaras dengan pindaan kepada Distribution of Gas Ordinance, 2016 (DGO 2016), semua aktiviti berkaitan dengan penggunaan dan pengedaran gas asli (Natural Gas) dan gas petroleum cecair (Liquified Petroleum Gas) oleh sektor industri, komersial dan domestik perlu berdaftar dan memiliki lesen atau permit. Ini bagi memastikan premis-premis dobi, restoran, pusat-pusat membeli belah dan kedai runcit yang terlibat dengan pengedaran LPG mematuhi peraturan di bawah Ordinan.
122. Kementerian saya juga akan giat melaksanakan program kesedaran dan pemeriksaan pematuhan secara berterusan. Setakat ini, Kementerian saya bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang lain telah memulakan program ini di kawasan Matang, Kuching. Kementerian saya juga akan memastikan program ini akan terus diadakan di bahagian-bahagian lain di seluruh Sarawak.
ISU-ISU SPESIFIK
Tuan Speaker,
123. Sekarang saya akan memberi maklum balas kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.
Isu-Isu Spesifik (Bekalan Air)
124. Saya akan menyentuh berkenaan isu-isu spesifik bekalan air terlebih dahulu.
125. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Meluan, masalah bekalan air ke kawasan Kelupu-Julau-Durin (KJD) akan bertambah baik setelah siapnya projek menaik taraf Loji Rawatan Air Bayong dan projek ‘Central Region 1 Work Order 6 (CR1 W06)’ masing-masing pada suku kedua dan ketiga tahun ini.
126. ‘Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Julau Fasa II’ di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kini dalam peringkat reka bentuk dan tender akan dipelawa pada tahun ini. Projek ini akan memberi manfaat kepada 2,200 isi rumah di sepanjang Jalan Julau-Entabai termasuk kawasan Bukit Agok Entabai.
127. Selain itu, Kerajaan Sarawak telah meluluskan pelaksanaan projek ‘Proposed Julau Water Supply System, Sarikei Division’ di mana projek ini akan melibatkan dua (2) pakej. Pakej pertama yang melibatkan projek kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Julau sedia ada termasuk penyambungan paip air ke Nanga Luau, Pekan Julau dan kawasan sekitarnya. Projek dijangka bermula pada suku ketiga tahun 2024. Manakala pakej kedua pula akan merangkumi kawasan Ulu Merurun-Sengaih seperti yang dibangkitkan.
128. Penghantaran air menerusi lori tangki air ke kawasan bermasalah akan dilakukan berdasarkan keperluan dan keadaan bekalan air dari semasa ke semasa.
129. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Tamin, kedua-dua projek yang dibangkitkan iaitu ‘Projek Menaiktaraf Loji Air Sekuau, Selangau, Bahagian Sibu’ dan ‘Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Sg. Arip, Bahagian Sibu, Ulu Baoh, Sebakong, Bahagian Mukah’ adalah diluluskan di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.
130. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Jepak, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Samarakan dan Kuala Serupai juga telah diluluskan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW). Kedua-dua projek ini sedang dalam peringkat reka bentuk.
131. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Meluan, Tamin dan Jepak, bagi kesemua projek yang telah diluluskan di bawah Kerajaan Persekutuan melalui KKDW, urusan pelantikan perunding, makmal pengurusan nilai, pelawaan tender, penilaian tender dan penganugerahan kontrak adalah diuruskan sepenuhnya oleh KKDW. Walau bagaimanapun, Kementerian saya akan mengambil tindakan susulan supaya projek ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera.
132. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Daro, kontrak Projek ‘Sarawak Water Supply Grid Programme – Stressed Areas Proposed Kampung Daro High Level Tank & Laying of Gravity Main from Jemoreng to Kuala Matu High Level Tank, Mukah Division’ telah ditamatkan atas kegagalan kontraktor meneruskan projek tersebut.
133. Tender untuk baki skop kerja yang belum disiapkan akan dipelawa dalam masa terdekat dan tempoh pembinaan adalah empat (4) bulan.
134. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Meradong, projek ‘Central Region 1 Work Order 6 (CR1 WO6)’ yang melibatkan pemasangan paip dari Bulat Junction ke Tangki Simpanan Air Temadak dijangka siap pada suku ketiga tahun ini. Walau bagaimanapun, pelaksanaan projek ‘CR1 WO6’ amat bergantung kepada penyiapan projek lebuh raya Pan Borneo.
135. Manakala projek ‘Proposed Upgrading of Bayong Water Treatment Plant’ dijangka siap pada suku kedua tahun ini.
136. Seperti Ahli Yang Berhormat bagi Meradong sedia maklum, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan berjumlah RM1.085 bilion melalui Alternative Funding untuk menaik taraf dan mengganti paip uzur di seluruh Sarawak secara berperingkat bermula tahun ini. Kawasan Meradong adalah antara kawasan yang telah dikenal pasti untuk pelaksanaan program ini.
Tuan Speaker,
137. With regard to the category of Kuching Water Board tariff charges raised by Ahli Yang Berhormat for Padungan, under the Water Ordinance, 1994, and the Water Supply Regulations, 1995, the customers are charged different fees according to the applicable law depending on the user category, the type of premises, and the use or purpose.
138. Each application to Kuching Water Board will go through a very thorough due diligence before the category of tariff is being decided and charged to the applicant. However, customers who think they have been charged under inappropriate category can submit an application to change the category by attaching all supporting documents to Kuching Water Board.
139. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Balingian, bagi mengatasi tekanan air di kawasan Kampung Sungai Alo, Kampung Bunut dan Kampung Tanjung, pihak JBALB telah melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan sistem paip sedia ada di kawasan Jebungan Pantai pada penghujung tahun lepas. Selain itu, tiga (3) projek penggantian paip lama dan uzur di kawasan yang sama telah dikenal pasti untuk dilaksanakan.
140. Manakala bagi kawasan Kuala Balingian, Setuan Besai, Setejok dan Setuan Mit, masalah tekanan air telah bertambah baik selepas beroperasinya stesen pam penggalak baharu yang terletak di Balingian.
141. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kalaka, projek pembekalan air terawat ke Kampung Kaba, Kampung Hilir Perpat, Kampung Tengah Perpat, Rumah Tanjong dan Kampung Paloh sedang dilaksanakan yang kini mencapai 98.2% dan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
142. Bagi Rumah Siti Belanda dan Rumah Christopher pula, pemasangan paip retikulasi di kedua-dua rumah ini telah siap dilaksanakan pada tahun 2023 dan bekalan air bersih akan dapat disalurkan pada suku ketiga tahun ini.
143. Cadangan penyambungan bekalan air terawat ke kawasan Kampung Hulu Perpat dan beberapa buah rumah panjang di Lubok Nibong iaitu Rumah Galing, Rumah Raweng, Rumah Mujah dan Rumah John Nyiong akan dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan.
144. Manakala, bekalan air ke kawasan Nyiar dan Jelupang pula telah diluluskan dan kini dalam peringkat pra-tender.
145. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kalaka dan Bukit Semuja, berkenaan dengan isu bekalan air ke sekolah, berdasarkan The Water Supply Regulations, 1995, agensi bekalan air di Sarawak hanya bertanggungjawab untuk membekal air dan menyelenggara fasiliti bekalan air sehingga ke meter air premis sahaja. Justeru, penyelenggaraan bekalan air selepas meter air ke premis sekolah yang dibangkitkan adalah di bawah tanggungjawab pihak Jabatan Pendidikan. Walau bagaimanapun, pihak JBALB sedia membantu dari segi khidmat nasihat teknikal.
146. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Bukit Semuja, permohonan peruntukan bagi penyambungan paip retikulasi dan menaik taraf sistem perpaipan dalaman telah pun dikemukakan oleh JBALB kepada pihak sekolah untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan.
147. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Batu Danau, projek pemasangan paip baharu sepanjang 2.5 km ke Rumah Tangai dan Rumah Demong telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dan proses pra-tender akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
148. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Katibas, cadangan loji rawatan air baharu di Song berkapasiti 20 juta liter sehari (JLH) dan ‘Projek Sistem Bekalan Air Song’ telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12). Kedua-dua projek ini kini dalam peringkat pelantikan perunding, siasatan tapak dan kerja-kerja ukur serta reka bentuk.
149. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Murum, faktor utama bekalan air terputus adalah disebabkan oleh kualiti air mentah yang sukar untuk dirawat semasa musim kemarau atau pengendapan lumpur yang tinggi di muka sauk sedia ada semasa hujan lebat atau banjir. Bagi menangani masalah ini, ‘Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Sungai Asap’ dan pembinaan muka sauk baharu di lokasi yang strategik telah diluluskan di bawah RMKe-12.
150. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Batu Danau, Katibas dan Murum, bagi kawasan yang belum dapat dihubungkan dengan grid bekalan air seperti yang dibangkitkan, ia akan dilaksanakan di bawah Program SAWAS secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan peruntukan.
151. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Bukit Begunan, disebabkan kelewatan penyiapan projek SAWAS di Banting, JBALB sedang mempertimbang untuk menamatkan kontrak tersebut.
152. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Batu Kitang, bagi mengatasi tekanan air rendah di Kampung Bunga Rampai dan sekitarnya, Kerajaan Sarawak telah meluluskan projek ‘Pembinaan Tangki Air Bukit Pancur’ yang kini dalam peringkat reka bentuk dan dokumentasi tender.
153. Sebagai inisiatif segera, pihak Lembaga Air Kuching akan melaksanakan sambungan saluran baru ke saluran utama dari Jalan Batu Kitang bagi menambah baik tekanan air ke kawasan terbabit. Projek ini akan dilaksanakan pada tahun ini.
154. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Machan, Kerajaan Sarawak telah pun meluluskan projek ’Proposed Kanowit Regional Water Supply, Sibu Division’ yang kini dalam peringkat pelantikan perunding, siasatan tapak dan kerja-kerja ukur serta reka bentuk akan dimulakan dalam masa terdekat.
155. Manakala projek bekalan air ke kawasan Majau, Mam, Batu Luking, Poi dan Menalun telah dikemukakan di bawah Rolling Plan 5 (RP5) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) tahun 2025 kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan.
156. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Machan, status projek ‘Proposed Water Supply Kanowit Phase 2 (Stage 2) Sibu Division – Proposed Pipeline from Salim Water Treatment Plant, Sibu Water Board to Kanowit, Sibu Division’ pula telah mencapai 83.11% dan dijangka siap pada suku ketiga tahun ini.
157. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Lingga, Projek Menaik Taraf Loji Rawatan Air Bayai daripada 33.3 juta liter sehari (JLH) kepada 53.3 JLH yang dibiayai Kerajaan Sarawak bernilai RM21.5 juta telah siap sepenuhnya pada tahun 2021.
158. Memandangkan kapasiti Loji Rawatan Air Bayai masih mencukupi, pihak JBALB akan melaksanakan projek pembinaan inline booster untuk meningkatkan tekanan air supaya bekalan air dari Loji Rawatan Air Bayai sampai ke Pekan Lingga. Manakala, masalah urusan bil air yang dibangkitkan akan diambil tindakan oleh JBALB.
159. Untuk perancangan jangka masa panjang pula, Kerajaan Sarawak telah meluluskan dua (2) lagi projek bekalan air bagi menghubungkan kawasan-kawasan di Bahagian Sri Aman termasuk Lingga dengan sistem grid bekalan air untuk menjamin pengeluaran air terawat yang mencukupi secara berterusan kepada para pengguna.
160. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Opar, kedua-dua projek bekalan air yang dibangkitkan iaitu ‘Lundu New Water Treatment Plant’ dan ‘New Lundu/Sematan Regional Water Supply’ telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) yang kini dalam peringkat pra-tender.
161. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Krian, bekalan air ke kawasan Ulu Grenjang, Saratok akan dilaksanakan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui KKDW. Projek ini kini sedang dalam peringkat pelantikan perunding.
162. Projek bagi kawasan Ulu Sebetan, Brayang, Mudong, Tapang Ujan dan Ibus serta projek Loji Rawatan Air Kaki Wong telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) yang kini dalam peringkat pra-tender.
163. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Engkilili, Kementerian mengambil maklum berkenaan masalah bekalan air bersih dan isu bil air di kawasan Memaloi Batu 8. Pihak JBALB akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu tersebut.
164. Bagi permohonan bekalan air ke kawasan Batang Ai Hilir yang dibangkitkan telah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan.
165. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Tellian, setakat April 2024, liputan bekalan air bersih untuk keseluruhan DUN N.57 Tellian adalah 81.8%. Projek bekalan air terawat di kawasan Bukit Engkerbai ke Lubok Bemban, kawasan Sebakong ke Nanga Sikat dan kawasan Dijih dan Ulu Baoh telah pun diluluskan untuk pelaksanaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang kini dalam peringkat pra-kontrak.
166. Projek penyambungan bekalan air ke Nanga Baoh hanya akan dapat dilaksanakan setelah siapnya jalan yang menghubungkan Nanga Baoh ke Ulu Baoh.
167. Untuk projek SAWAS di Nanga Baoh, pihak JBALB akan mengambil tindakan sewajarnya agar loji ini dapat beroperasi semula.
168. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Stakan, pembinaan dua (2) buah tangki air aras tinggi di Samarindah, Samarahan yang masing-masing berkapasiti 4.5 juta liter (JL) akan dibina pada tahun ini.
169. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kabong, Loji Rawatan Air Lichok tidak akan dinaik taraf kerana sumber air mentah daripada Sungai Lichok tidak mencukupi. Sebagai alternatif, projek naik taraf akan dilaksanakan di Loji Rawatan Air Kaki Wong daripada 30 juta liter sehari (JLH) kepada 60 JLH, yang juga akan membekalkan air terawat ke Daerah Kabong. Projek naik taraf ini telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12).
170. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Beting Maro, projek bekalan air terawat untuk Kampung Batang Maro sedang dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga tahun ini.
171. Sementara itu, naik taraf Loji Rawatan Air Beladin dan tangki air aras tinggi di kawasan Pusa, Beladin, Sepinang dan Semarang telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMKe-12) dan kini dalam peringkat pelantikan perunding.
Isu-Isu Spesifik (Bekalan Elektrik)
Tuan Speaker,
172. Seterusnya saya akan beralih kepada isu-isu spesifik bekalan elektrik yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.
173. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Meradong, Kalaka, Opar, Batu Danau, Krian, Tellian dan Kabong, seperti yang saya nyatakan tadi, sehingga kini terdapat sebanyak 14,000 pemohon di seluruh Sarawak yang memohon bekalan elektrik telah disenaraikan di bawah projek ALAF. Projek ALAF akan dilaksanakan secara berperingkat tertakluk kepada ketersediaan peruntukan yang akan dipohon di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).
174. Untuk mempercepatkan pelaksanaan Projek ALAF, Sarawak Energy akan menyenarai pendek kontraktor yang berprestasi baik dan berkemampuan dari segi teknikal, kewangan dan pengurusan projek untuk dilantik sebagai kontraktor bagi melaksanakan projek ALAF.
175. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kalaka, bagi mengatasi kejadian gangguan bekalan elektrik yang kerap berlaku di Kampung Melango Lot Saratok, Sarawak Energy akan menaik taraf transformer sedia ada dari 300 kVA ke 500 kVA dan kerja naik taraf tersebut akan bermula pada bulan Julai tahun ini. Sarawak Energy juga akan menempatkan satu (1) pasukan teknikal dalam masa terdekat bagi menambah baik perkhidmatan operasi bekalan elektrik sedia ada di kawasan Kalaka.
176. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Serembu, Sarawak Energy telah mengambil maklum isu tuntutan tapak menara elektrik seperti yang dibangkitkan. Pengambilan balik tanah (land acquisition) di bawah Kanun Tanah Sarawak (Sarawak Land Code) sedang dilaksanakan secara berperingkat oleh Sarawak Energy. Pampasan tanah akan dibayar mengikut nilai semasa apabila proses pengambilan tanah diselesaikan.
177. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Engkilili, penyambungan elektrik untuk Rumah Rawing, Rumah Empaling anak Repong dan Rumah Richard Tawan anak Sidu, sebelum ini telah disenaraikan di bawah projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).
178. Namun demikian, atas persetujuan penduduk terlibat, projek ini terpaksa digugurkan kerana masalah izin lalu walaupun pelbagai usaha seperti mesyuarat, sesi libat urus dan dialog telah dilakukan. Projek ini boleh disenaraikan semula sekiranya masalah izin lalu dapat diselesaikan. Untuk tujuan ini, kami mengalu-alukan kesudian Ahli Yang Berhormat untuk membantu menyelesaikan masalah ini.
179. Manakala, untuk penyambungan elektrik ke Rumah Polly Sulau, Bukong dan Rumah Peter Minggat Mujan, saya menyarankan pihak Yang Berhormat menghubungi terus pejabat Sarawak Energy yang berdekatan untuk tindakan lanjut.
180. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Murum, Sarawak Energy sedang melaksanakan projek melibatkan talian tambahan untuk menambah baik prestasi bekalan elektrik ke kawasan Sungai Asap termasuk Skim Penempatan Semula (BRS) Sungai Asap. Projek ini dijangka siap pada suku keempat tahun ini.
181. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kabong, bekalan elektrik ke Kabong dihubungkan melalui talian atas sepanjang 80 km dari Pencawang Sarikei 132/33 kV.
182. Selain daripada itu, bagi menambah baik prestasi talian atas (overhead line) di Kabong, Sarawak Energy juga mengambil tindakan berikut:
i) membina talian tambahan dari Kampung Kaba ke Simpang Nyabor, Kabong yang telah mendapat kelulusan baru-baru ini;
ii) memasang alat-ubah (transformer) baharu yang berkapasiti 5 MVA di Simpang Plassu, Kabong yang dijangka siap pada penghujung tahun ini; dan
iii) memasang peralatan dan peranti pintar yang menggunakan teknologi digital bagi mengurangkan masa tindak balas apabila berlaku gangguan bekalan elektrik.
183. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Murum dan Kabong, bagi mengurangkan gangguan bekalan elektrik, Sarawak Energy juga sentiasa memantau dan memeriksa talian sedia ada dengan menggunakan dron serta melakukan penyelenggaraan secara berkala termasuk pemotongan pokok (vegetation clearing).
Isu-Isu Spesifik (Gas)
Tuan Speaker,
184. Saya akan menyentuh berkenaan isu spesifik pengedaran gas yang telah dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat bagi Tanjong Batu.
185. For the information of Ahli Yang Berhormat for Tanjong Batu, at present, natural gas distribution in Bintulu is supplied mainly to power plant, industrial, and petrochemical customers located in Kidurong industrial area. Currently, PETROS is conducting a feasibility study to provide natural gas access to Bintulu, primarily targeting residential, commercial and SME industries.
Isu-Isu Spesifik (Telekomunikasi)
Tuan Speaker,
186. Seterusnya, saya akan menyentuh berkenaan isu-isu spesifik telekomunikasi yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat.
187. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Repok, Bukit Assek, Simunjan, Krian dan Kabong, kesemua menara yang masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dijadualkan beroperasi secara berperingkat sehingga suku kedua tahun 2025. Harap bersabar.
188. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Serembu, sebanyak enam (6) buah menara telah beroperasi di kesemua kawasan yang dibangkitkan manakala dua (2) lagi masih dalam pelaksanaan dan dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga suku pertama tahun 2025.
189. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Balingian dan Krian, Kementerian saya telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan dalam usaha untuk mempertingkat penguatkuasaan bagi membendung jenayah vandalisme, termasuk mengadakan Kempen Mencegah Vandalisme secara besar-besaran.
190. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Kalaka, menara di Kampung Perpat telah siap dinaik taraf dengan perkhidmatan CelcomDigi. MCMC akan meminta pihak penyedia perkhidmatan lain seperti Maxis dan U Mobile untuk turut menyediakan perkhidmatan 4G di Kampung Kaba dan Kampung Kupang.
191. Bagi meningkatkan tahap kualiti perkhidmatan telekomunikasi di DUN Kalaka, sebanyak enam (6) buah menara baharu tambahan kepada menara sedia ada. Sebuah menara baharu tersebut telah beroperasi dan lima (5) lagi sedang dalam pelaksanaan dan dijangka beroperasi pada suku keempat tahun ini.
192. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Katibas, Kementerian saya serta agensi berkaitan sedang meneroka potensi teknologi baharu termasuk low earth orbit satellite technology untuk mempercepatkan peluasan liputan rangkaian telekomunikasi di kawasan luar bandar.
193. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Tebedu, terdapat sebuah menara telekomunikasi berdekatan ICQ Tebedu yang menyediakan perkhidmatan Maxis. Namun begitu, MCMC akan meminta pihak penyedia perkhidmatan lain seperti CelcomDigi dan U Mobile untuk turut serta menyediakan perkhidmatan 4G di menara tersebut. Kompleks ICQ Tebedu juga tersedia dengan perkhidmatan UNIFI dan pihak MCMC sentiasa memantau kualiti perkhidmatan telekomunikasi dengan menjalankan ujian audit secara berkala.
194. Sebanyak 20 buah menara telekomunikasi telah diperuntukkan di DUN Tebedu, di mana 15 buah menara telah beroperasi dan baki lima (5) buah menara dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga suku keempat tahun ini. Selain itu, sebanyak 32 stesen pemancar telah siap dinaik taraf di kawasan DUN Tebedu.
195. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Tanjong Batu, pihak MCMC telah melaksanakan sebanyak tiga (3) aktiviti audit kualiti perkhidmatan rangkaian di kawasan Tanjong Batu pada tahun 2023. Hasil daripada aktiviti audit tersebut, penyedia perkhidmatan berkaitan telah diarah untuk mengambil tindakan menambah baik rangkaian perkhidmatan masing-masing. MCMC akan melaksanakan aktiviti audit seterusnya pada suku ketiga tahun ini untuk DUN Tanjong Batu.
196. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Murum, kajian teknikal bagi cadangan projek High Speed Open Broadband Network di Skim Penempatan (BRS) Sungai Asap telah siap dan kini dalam peringkat kelulusan peruntukan.
197. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat bagi Engkilili, sebanyak dua (2) buah menara telah beroperasi di kesemua kawasan yang dibangkitkan manakala sebuah lagi masih dalam pelaksanaan dan dijangka beroperasi secara berperingkat sehingga suku ketiga tahun ini.
198. Untuk keseluruhan kawasan DUN Engkilili, sebanyak 37 buah menara baharu telah diperuntukkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 24 buah menara telah beroperasi manakala baki 13 buah menara lagi masih dalam pelaksanaan serta dijadualkan beroperasi secara berperingkat.
PENUTUP
Tuan Speaker,
199. Sebelum mengakhiri ucapan, saya terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Tuan Speaker, Timbalan Speaker, Setiausaha dan semua pegawai Dewan kerana telah mengendalikan persidangan Dewan pada kali ini dengan begitu baik. Terima kasih juga kepada Setiausaha Kerajaan Sarawak, Setiausaha Persekutuan, Peguam Besar Sarawak, Setiausaha Kewangan Sarawak, semua Setiausaha Tetap Kementerian, Ketua-ketua Jabatan, para jurutrengkas dan semua pihak yang telah memberi kerjasama untuk menjayakan persidangan Dewan pada kali ini.
200. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kedua-dua Timbalan Menteri, Setiausaha Tetap dan semua pegawai di Kementerian saya serta semua pegawai agensi di bawah seliaan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi di atas komitmen yang tinggi semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada kali ini.
201. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu, Selamat Hari Guru kepada semua warga pendidik dan Selamat Hari Wesak kepada penganut agama Buddha. Kepada rakan-rakan dan masyarakat Dayak, saya ingin mengucapkan Selamat Ngintu Ari Gawai Dayak, Gayu Guru Gerai Nyamai, Lantang Senang Nguan Menoa.
202. Saya berdoa kepada Allah S.W.T. agar sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada kita semua serta melindungi Sarawak Ibu Pertiwiku agar kita terus bersatu padu, aman, makmur dan maju.
Tuan Speaker,
203. Sebagai penutup ucapan penggulungan ini, izinkan saya menyampaikan beberapa rangkap pantun berikut:
DUN Bersidang Suasana Meriah
Ordinan Gas Dipinda Sudah
Aggregator Gas Sudahlah Sah
PETROS Kini Berdiri Megah
Sarawak Maju Pendapatan Bertambah
Nama Sarawak Terus Terserlah
YAB Premier Ideanya Hebat
Tenaga Diperbaharui Sentiasa Di Hati
Cascading Power Source Pilihan Tepat
Menjana Tenaga Tingkatkan Kapasiti
Naik Kereta Bersama-Sama
Dari Lundu Hingga Ke Lawas
Bekalan Air Sentiasa Diutama
Jaringan Telko Terus Diperluas
Dari Saratok Pergi ke Belawai
Singgah Sebentar Membeli Umai
Selamat Menyambut Hari Gawai
Gayu Guru Gerai Nyamai
Daun Mengkudu Daun Selasih
Thank You, Terima Kasih