KUCHING, 14 Mei: Perarakan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024 terbesar yang akan berlangsung pada 15 Jun depan bakal menyaksikan penyertaan seramai 3,300 orang melibatkan sebanyak 110 kontinjen.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja-Kerja Perarakan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2024, Billy Sujang berkata, kontinjen tahun ini terdiri daripada komuniti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu yang turut membawakan komuniti Kadazan Dusun melalui Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak.
“Kontinjen terbesar adalah daripada komuniti Iban dengan sebanyak 38 kontinjen, diikuti dengan kontinjen komuniti Bidayuh sebanyak 25 kontinjen, kontinjen komuniti Orang Ulu sebanyak tujuh kontinjen dan Kadazan Dusun dengan tiga kontinjen,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Billy berkata, perarakan dijangka bermula pada jam 2 petang yang bermula daripada Bangunan Tun Jugah dan berakhir di Pentas Utama di Tebingan Kuching dengan jarak sejauh 1.3 kilometer (km).
“Kontinjen akan dihakimi oleh jawatankuasa khas terpilih untuk memilih kontinjen terbaik dan pemenang akan membawa pulang wang berjumlah RM10,000, RM7,000 dan RM5,000 berbanding dengan tahun sebelum ini di mana hanya satu kontinjen sahaja (yang menang),” katanya.
Menurutnya lagi, tetamu kehormat pada hari perarakan berkenaan ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah Billy, perarakan akan diketuai Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2024 dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak 2024. – TVS