Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Rainforest World Music Festival (RWMF) 2023 di Kampung Budaya Sarawak antara acara yang berjaya menarik pelancong ke sini, Foto, Faitullah Morni (TVS).

DUN Sarawak: Lonjakan lebih 25 peratus kedatangan pelancong direkodkan

ByHandy G

KUCHING, 14 Mei: Sarawak mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 25.46 peratus kedatangan pelancong bagi Januari hingga April 2024 berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu berkata, ini berdasarkan ketibaan seramai 1.62 juta pelancong berbanding 1.3 juta pada tahun sebelumnya.

Kata beliau, kemasukan itu menjana resit pelancongan yang dianggarkan mencecah RM4.17 billion bersamaan peningkatan 27.43 peratus berbanding RM3.27 bilion pada 2023.

“Angka-angka ini bukan sahaja menonjolkan ketahanan Sarawak dan peningkatan kedudukannya dalam sektor pelancongan malahan mencerminkan kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif pemasaran dan pembangunan strategik untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa.

“Saya yakin industri pelancongan akan terus pulih sepanjang tahun ini seiring dengan kembalinya pelancong tempatan dan asing,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan pada 2023, Sarawak mencatat kedatangan seramai 3.92 juta pelancong iaitu peningkatan 93.82 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Lonjakan pelancongan ini menyumbang kira-kira RM9.99 bilion dalam bentuk pendapatan serta menunjukkan pertumbuhan mengagumkan mencecah 101.41 peratus berbanding 2022.

“Aliran masuk ini telah memberi kesan besar kepada ekonomi berdasarkan sumbangan 7.11 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sarawak,” tambahnya.

Abdul Karim turut berkongsi potensi Sarawak sebagai antara destinasi pelancongan utama di Malaysia apabila menyumbang kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan kedatangan pelancong ke Malaysia pada tahun lalu.

“Pada tahun ini kementerian meramalkan peningkatan terus berlaku dengan anggaran empat juta pelancong yang berpotensi menjana kira-kira RM10.19 bilion dalam hasil pelancongan, sekali gus meningkatkan sumbangan KDNK sebanyak 7.25 peratus,” katanya. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan