KUCHING, 14 Mei: Kejohanan Pickleball julung kali diadakan di kawasan DUN Serembu pada 15 Jun depan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM4,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Miro Simuh, berkata sebanyak 15 pasukan bakal berentap dalam pertandingan yang inklusif itu.
“Kejohanan ini adalah sangat inklusif kerana ia merentas semua peringkat umur, sama seperti sukan badminton, tennis dan golf,” katanya pada sidang media di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Miro, selain wang tunai para pemenang juga akan membawa pulang trofi dan sijil penyertaan.
“Seperti yang kita tahu, sukan ini bukan lagi sukan yang baharu, banyak negara sudah bertapak dengan sukan ini. Mungkin suatu hari nanti sukan ini boleh dimasukkan dalam acara Sukan Malaysia (SUKMA) di masa akan datang kerana kita melihat sukan ini tidaklah begitu sukar untuk dimainkan,” katanya.
Untuk rekod, pasukan dari Miri merupakan kumpulan yang pertama di Malaysia untuk mendaftarkan persatuan pickleball bersama Persatuan Pickleball Malaysia yang berpangkalan di Sarawak pada 2019.
Persatuan Pickleball Malaysia berdaftar dengan Persatuan Antarabangsa Pickleball adalah pada November 2019 dan menjadi salah satu daripada 70 buah negara yang berdaftar dalam persatuan tersebut. -TVS