KAPIT, 13 Mei: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan memaklumkan pihaknya mempunyai strategi yang baharu untuk memacu semula stesen pertanian yang ada di Rumah Panjang Nanga Engkuah Ulu Katibas, Song.
Katanya, perkara ini merangkumi menaik taraf sistem pengairan ke stesen, jalan ke sungai dan seterusnya membuat jajaran ke rumah panjang tersebut.
“Jadi di sini kita akan perkasakan penanaman sayur-sayuran. Tambahan rumah panjang ini telah diiktiraf sebagai Mobile Research Centre untuk perikanan darat. Bermakna kita akan buat kaji selidik di sini.
“Kita akan buat kolam besar sama ada plastik atau simen, akan kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena dengan lawatan ke Rumah Nanga Engkuah Ulu Katibas yang dipilih sebagai Kampung Angkat Madani.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan akan mempromosikan ekopelancongan dan pelancongan pertanian (Agrotourism) di perkampungan tersebut.
“Stesen ini kita sudah mendapat kelulusan dan kita akan menempatkan pegawai perikanan. Beliau akan ulang alik dari pejabat di Song untuk melawat stesen ini mengikut jadual mereka.
“Tujuan kita adalah untuk membangunkan ekonomi di sini. Misalnya kita ada kolam besar dan kita akan pungut hasil sungai kita kerana kita tahu bahawa kawasan ini terkenal dengan ikan empurau, jadi kita akan dapatkan pemborong dari luar ,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut menyokong usaha tersebut termasuk bantuan menyediakan kolam ikan untuk tujuan yang lebih komersial dan teratur. – TVS