KUCHING, 13 Mei: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) bakal memperluas program bas sekolah percuma ke Limbang serta daerah lain pada suku ketiga tahun ini.
Menterinya, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, ia susulan kejayaan program itu di Kuching, Miri dan Sibu.
Jelas beliau, sehingga April lepas, seramai 9,095 pelajar sekolah di Kuching, Miri dan Sibu telah menerima manfaat daripada program itu.
“Ia melibatkan 61 buah sekolah dan 116 pengendali bas di tiga bandar ini,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambah beliau, program yang diperkenalkan oleh Yayasan Sarawak dan MOTS itu bertujuan untuk meringankan beban pelajar dari keluarga B40 dan mengatasi masalah tidak hadir ke sekolah kerana faktor pengangkutan.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, bagi tempoh September 2020 hingga Mac 2024, operasi percubaan bas berkuasa hidrogen menunjukkan peningkatan pengguna.
“Sehingga kini ia digunakan oleh seramai 57,764 orang penumpang.
“Purata penggunaan bulanan pada Januari 2024 hingga April lepas mencapai 1,869 penumpang sekali gus menunjukkan peningkatan 27.14 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” tambah beliau. -TVS