MIRI, 13 Mei: Jasad mendiang Datuk Mutang Tagal selamat dikebumikan di Fairy Park Miri Memorial di sini hari ini.
Perarakan keranda Yang di-Pertua Dewan Negara itu tiba sekitar 2.15 petang, diusung oleh lapan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Isteri mendiang, Datin Ho May Leng dan ketiga-tiga anaknya iaitu Rining, Saran dan Bian turut hadir.
Upacara penghormatan terakhir di sini dimulakan oleh pasukan PDRM dan diikuti ahli keluarga yang meletakkan bunga di atas keranda sebelum diturunkan ke dalam liang pada 2.56 petang.
Upacara pengkebumian diadakan selepas selesai upacara kebaktian dan penghormatan terakhir di Gereja BEM Canada Hill pada sebelah pagi.
Mutang, 70, menghembuskan nafas terakhir pada 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi jantung pada Jumaat lepas.
Jasad mendiang diterbangkan ke Miri menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Charlie 130 Hercules selepas upacara penghormatan terakhir di Kuala Lumpur.
Berketurunan Lun Bawang, Mutang merupakan komuniti Dayak pertama yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
Mendiang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Bukit Mas dan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI).
Upacara turut dihadiri Duta Besar Republik Azerbaijan ke Malaysia Irfan Davudov, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala serta isterinya Datin Esther Balan. -TVS.