JAKARTA, 13 Mei: Jumlah korban akibat banjir lumpur di Sumatera Barat, Indonesia meningkat kepada 37 orang.
Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) Indonesia, setakat tengah malam tadi, sebanyak 35 mayat telah dikenal pasti manakala dua lagi masih dalam proses pengecaman.
Jelas BNPB, seramai 19 orang meninggal di Agam, sembilan di Tanah Datar, dua di Padang Panjang serta tujuh di Padang Pariaman.
Banjir itu dipercayai akibat hujan berintensiti tinggi di atas Gunung Marapi yang menyebabkan pasir, batu dan bongkah kayu dihanyutkan ke beberapa buah perkampungan di kaki gunung.
Jurucakap BNPB, Abdul Muhari berkata, seramai 17 mangsa masih hilang.
“Jumlah mangsa mungkin akan bertambah memandangkan usaha mencari dan menyelamat sedang dilakukan,” katanya.
Usaha pencarian membabitkan Pasukan Mencari dan Menyelamat (Basarnas), Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan polis.
Sementara itu, pihak berkuasa juga sedang memindahkan penduduk ke tempat selamat. -TVS.