KUCHING, 13 Mei: Unit pertama versi akhir Sistem Transit Aliran Autonomi (ART) dijangka tiba di Sarawak menjelang suku ketiga tahun ini, menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata versi terkini itu mempunyai beberapa penambahbaikan membabitkan reka bentuk hadapan dan warna luar yang melambangkan bendera Sarawak.
“Sekarang ART ini berada di kilang pembuatan di China, jadi kita akan ke sana Ogos atau September ini untuk pandu uji sebelum ia dihantar ke Sarawak untuk dipasang di sini.
“Kita buat ujian dahulu sampai kita puas hati…buat masa ini tak boleh bocorkan apa rupa bentuk baharu tapi dari segi kelajuan masih sama (70 kilometer sejam),” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini, Lee berkata kerja-kerja asas bagi pembinaan Depoh Rembus sebagai hab operasi dan pentadbiran sistem ART sedang berjalan dan dijangka siap menjelang suku ketiga tahun ini.
Beliau berkata sehingga April lepas, kemajuan keseluruhan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Fasa Satu berada pada 20.65 peratus termasuk kerja perundingan, kajian dan kerja fizikal.
“Tender bagi kerja infrastruktur lain di bawah Fasa Satu projek KUTS ialah pembinaan Depoh Rembus dan kerja-kerja berkaitan yang merangkumi seperti bengkel mekanikal dan infrastruktur, kemudahan mengisi hidrogen, landasan ujian dan pusat kawalan operasi,” katanya. – TVS