KUCHING, 13 Mei: Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) bakal mengambil alih sepenuhnya aktiviti berkaitan gas asli dari Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) di Sarawak pada 1 Julai ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pengambilalihan peranan tersebut bakal berkuat kuasa hingga 1 JanuarI 2025 menerusi Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023.
“Ini bermakna mana-mana aktiviti yang berkaitan dengan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak akan diambil alih oleh PETROS.
“Menerusi Ordinan ini, kita difahamkan bahawa Petronas sudah dimaklumkan untuk menghentikan aktiviti perdagangan termasuk pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem rangkaian pengedaran gas asli di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya juga, PETROS dan PETRONAS bersetuju untuk menandatangani perjanjian definitif (Definitive Agreement) menjelang 1 Julai ini yang menjadikan PETRONAS sudah maklum mengenai PETROS yang dilantik sebagai Aggregator Gas Tunggal.
“Petros akan memuktamadkan perjanjian pembelian gas dari semua pengeluar gas huluan dan menjual gas tersebut kepada semua pembeli gas hiliran termasuk loji pemprosesan gas asli cecair (LNG) di Sarawak,” katanya lagi.
Pada masa sama beliau berkata, melalui pengambilalihan ini, ia sekali gus bakal menambah pendapatan Sarawak.
PETROS dilantik sebagai Aggregator Gas Tunggal pada 1 Februari 2024. – TVS