KOTA SAMARAHAN, 13 Mei: Dua lelaki yang hilang ketika keluar mencari lokan di hadapan bangunan Sains, Jalan Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, semalam, ditemukan selamat hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membuat pencarian di sekitar lokasi mangsa dikatakan selalu mencari lokan.
“Pada jam 11.40 pagi kedua-dua mangsa berjaya dijumpai pasukan SAR di seberang anak sungai anggaran 20 kaki lebar dan kedalaman paras air sungai sedalam tujuh kaki kawasan hutan paya satu kilometer jarak dari Pos Kawalan Bomba (PKB).
“Mangsa dipercayai tidak dapat menyeberangi anak sungai berikutan air pasang,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa tidak mengalami kecederaan dan mengalami keletihan telah dibawa keluar dengan menggunakan bot pasukan SAR dan seterusnya dihantar ke hospital Pusat Jantung Sarawak (IJN) untuk pemeriksaan kesihatan.
“Dengan penemuan kedua-dua mangsa operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 tengah hari tadi,” katanya.
Dalam kejadian itu,mangsa dikenali Kawi Entinggi,54, dari Kampung Batu Gong Kota Samarahan dan Adi Alet,42, dari Kampung Tanah Putih Endap.
Kedua-dua mangsa keluar mencari lokan pada jam 12 tengah hari semalam untuk mencari lokan di kawasan berkenaan dan belum pulang sehingga laporan polis dibuat oleh ahli keluarga mangsa.
Mereka yang bekerja di tapak pembinaan Syarikat Golden End Sdn Bhd gagal dihubungi kerana tidak membawa telefon bimbit. – TVS