MIRI, 12 Mei: Tagal Paran, bapa kepada Yang di-Pertua Dewan Negara, mendiang Datuk Mutang Tagal reda dengan pemergian anak lelaki keduanya itu.
Tagal, 91, kelihatan tenang ketika hadir pada Majlis Penghormatan Terakhir di Gereja BEM di sini hari ini.
Tagal berkata, dia menerima pemergian mendiang walaupun agak mengejut.
“Meskipun kami dukacita, namun ini kehendak Tuhan.
“Bila Tuhan panggil, kita tidak boleh nak buat apa-apa,” katanya.
Mutang meninggal dunia kira – kira 11.46 pagi pada 10 Mei lepas akibat komplikasi jantung ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).
Sebelum itu mendiang dilaporkan jatuh sakit sewaktu lawatan kerja di Azerbaijan yang bermula 29 April lepas.
Sementara itu, Tagal juga pernah kehilangan anak sulung, Judson Sakai Tagal yang terkorban dalam nahas helikopter di Bario pada 2004.
“Saya mempunyai tujuh orang anak dan kini, kedua-dua anak lelaki saya sudah dipanggil Tuhan,” katanya.
Namun demikian, Tagal berkata, beliau sangat berbangga kerana kedua-dua mereka pernah berkhidmat dalam kerajaan dan berjasa kepada negara.
Mendiang Mutang akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Fairy Park di Lambir. -TVS