KOTA SAMARAHAN, 12 Mei: Samarahan Marathon berupaya diangkat untuk menjadi satu lagi acara larian jarak jauh bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Sarawak selapas Kuching Marathon dan Miri Marathon.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, berdasarkan kejayaan pertama penganjurannya, penganjur dinasihat untuk segera memohon agar acara tersebut turut dimuatkan dalam kalendar Persekutuan Marathon dan Larian Jarak Jauh Antarabangsa (AIMS).
Menurutnya, ia bagi membolehkan penganjuran acara tersebut lebih dikenali dan dapat dianjurkan dengan sistematik serta teratur.
“Penganjur mungkin boleh memohon untuk acara ini dimasukkan dalam AIMS supaya ia lebih terkenal bukan sahaja di Sarawak tetapi seluruh dunia kerana pada masa ini untuk Sarawak kita ada dua acara Marathon yang sudah diberi pengiktirafan oleh AIMS iaitu Marathon Kuching dan Marathon Miri.
“Marathon Samarahan ini saya percaya kalau diangkat ia boleh diterima kerana saya melihat penganjurannya cukup teratur sekali dan sambutan daripada peminat-peminat larian jauh cukup baik sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika di temui selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Samarahan Marathon 2024 di sini hari ini.
Acara itu yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM60,000 disertai lebih 2,000 peserta tempatan dan antarabangsa termasuk daripada Singapura dan Afrika.
Pelari dari Kenya, Lukas Muteti meraih tempat pertama bagi acara Marathon penuh, 42 kilometer bagi katerogi lelaki dengan catatan masa 2 jam 42 minit 47 saat manakala Dorcas Tarus muncul sebagai pemenang bagi kategori wanita.
Bagi acara Marathon separuh, 21 kilometer, Muhammad Asyraf muncul pemenang bagi kategori lelaki dengan catatan masa 1 jam 17minit 19 saat sementara Sally Ann Yap Yu Ing memenangi kategori wanita dengan catatan masa 1 jam 35 minit 25 saat.
Bagi acara mini maraton, 10 kilometer pula, kemenangan milik Muhammad Shahir dan Hii Win Nie muncul sebagai pemenang bagi kategori lelaki dan wanita. -TVS