KEPALA BATAS, 12 Mei: Perpaduan serta kepelbagaian kaum, budaya dan kepercayaan agama menjadi aset penting negara yang perlu dipelihara dan dipertahankan.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Azman Mohd Yusof berkata, justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memupuk keharmonian dan menjaganya bersama-sama dengan kedaulatan, keamanan dan keselamatan negara.

“Adalah menjadi kemestian bagi setiap kita untuk memahami budaya, bahasa, agama dan cara hidup setiap kaum yang ada dalam negara ini.
“Apabila kita saling memahmi, maka ruang untuk saling menerima dan bertoleransi akan terbuka lebih luas serta jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang 2024 di sini semalam.
Acara bertemakan Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Turut hadir, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim.
Acara berkenaan yang mengangkat perayaan Kaamatan dan Gawai berobjektif menyediakan ruang memperkenalkan budaya, etnik, kepelbagaian adat resam serta keunikan dari Sabah dan Sarawak bagi menambah pengetahuan rakyat Pulau Pinang.
Acara meriah yang berlangsung empat hari bermula 9 hingga 12 Mei itu juga menjadi platform memupuk semangat perpaduan dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.
Program itu turut memperkenalkan kepada masyarakat di Pulau Mutiara mengenai kebudayaan, busana daripada pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak, makanan popular serta kraftangan. – TVS