KUCHING, 12 Mei: Ibu, umi, mama atau tidak kira apa gelaran, figura hebat ini tidak pernah jemu menumpahkan kasih sayang kepada anak masing – masing tanpa penghujung.
Pengorbanan mereka bagai tiada hijab, kerana ada pepatah menyebut kasihnya ibu membawa ke syurga.
Status ibu yang digalas bukanlah perkara enteng lebih – lebih lagi yang bergelar ibu tunggal pula, ribuan ujian terpaksa ditempuhi.
Antara cabaran itu termasuklah aspek ekonomi kerana hilang tempat bergantung selain perlu membesarkan anak seorang diri.
Presiden Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA), Salmah Ibrahim berkata, demi meringankan beban golongan ini, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan PITSA pada 1999, yang mana pada ketika itu ia hanyalah sebuah jawatankuasa.

Jelas beliau, ia berfungsi sebagai ‘jambatan’ penghubung antara agensi kerajaan yang menyalurkan bantuan kepada ibu tunggal.
Salmah, 76, yang telah mengabdikan dirinya selama 25 tahun dengan persatuan berkata, misinya untuk memastikan golongan ibu tunggal di Sarawak tidak tercicir.
Masalah disiplin remaja antara tiga cabaran utama dihadapi kaum ibu – Nancy
Beliau juga mahu golongan itu menikmati arus permodenan dan membentuk mereka menjadi generasi yang bertamadun.
“Kita tidak memberi bantuan berupa wang ringgit kepada ahli tetapi sokongan yang disalurkan membabitkan khidmat nasihat atau menghubungkan ibu tunggal dengan agensi kerajaan terutama bagi mereka yang kurang arif kaedah memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Oleh itu, sudah menjadi tugas kami untuk membantu mereka,” jelasnya ketika ditemui TVS hari ini.
Pada masa sama, Salmah turut memuji golongan ibu tunggal yang berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Ada dalam kalangan mereka sudah jadi usahawan kecil malahan mencapai tahap usahawan menengah hasil usaha sendiri.
“Kami di pihak persatuan atau kerajaan hanya bantu dalam aspek ilmu contohnya kalau seorang ibu tunggal itu hendak jadi usahawan bidang memasak atau juruhias, mereka diberikan kursus yang ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau turut memberitahu, kerajaan turut menyediakan geran khas kepada golongan ibu tunggl yang mahu menceburi bidang keusahawanan.
Salmah menambah, selain bantuan untuk peluang mata pencarian, persatuan itu juga turut menyediakan khidmat penjagaan kanak-kanak melalui pusat penjagaan kanak-kanak serta taska bagi ibu tunggal yang bekerja. – TVS