KUCHING, 11 Mei: Sarawak mungkin akan melaksanakan semakan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu akan dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan konstituensi baharu yang akan diwujudkan.
“Perkara ini (persempadanan semula) dimaklum kepada SPR, beberapa perkara harus diambil kira dalam menentukan konstituensi baharu yang akan diwujudkan oleh pihak SPR,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Ibu Pejabat Parti PBB di sini pada Sabtu.
Walaupun tidak mendedahkan jumlah sasaran kawasan baharu, Pengerusi GPS itu berkata beberapa faktor akan diteliti oleh SPR untuk melaksanakan persempadanan semula.
“Keputusannya akan ditentukan oleh SPR, memang kita mempunyai cadangan bagi pihak kita (GPS) kawasan yang akan diwujudkan.
“Namun ia juga mengambil kira semua aspek termasuk parameter kawasan, kepelbagaian kaum selain keseimbangan,” katanya.
Untuk rekod kali terakhir persempadanan semula kawasan DUN Sarawak dilaksanakan pada 2015.
Pada November 2014, DUN Sarawak telah meluluskan pindaan undang-undang ke atas Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak berhubung komposisi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi yang berkuat kuasa pada 5 Disember 2014. -TVS