KUCHING, 10 Mei: Potensi rumah agam dibina oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah yang menjadi premis sebuah sekolah di sini dikenal pasti untuk diiktiraf sebagai tapak warisan Melayu, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau mendedahkan rumah agam yang dibina sekitar tahun 1930-an itu kini telah diambil alih oleh Kerajaan Sarawak untuk dijadikan bangunan warisan.
Padang Pasir Kuching ditransformasikan sebagai stesen pusat utama ART – Abang Johari
“Alhamdullilah dalam pemerintahan saya, saya telah mengambil alih bangunan tersebut dalam tangan masyarakat Melayu.
Di mana sekolah Cina ini, saya tempatkan di kawasan Stutong dan mereka telah menyerahkan hak milik tanah balik kepada kerajaan dan saya berikan mereka satu tanah di Stutong untuk mereka mendirikan sekolah mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Persaudaraan Masjid, Bintangor dan Haji Taha Kuching (MBHT) 2024, di sini, pada Jumaat.
Hadir sama isteri Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Sementara itu bagi sekitar Padang Pasir Kuching pula, Abang Johari memberitahu Bangunan HIKMAH Exchange telah diwujudkan dalam kawasan berkenaan yang kini menjadi ruang pejabat untuk jabatan kerajaan dan korporat.
“Dulu memang ada cadangan untuk membina bangunan atas tetapi ketika saya menjadi wakil rakyat dalam kerajaan, saya dapat cari jalan keluar dan akhirnya kita dirikan HIKMAH Exchange sekarang yang merupakan ruang untuk jabatan kerajaan dan korporat.
“Di sana juga ada dewan-dewan yang boleh dipakai untuk membuat bangsawan secara moden. Ini bermakna kita telah mengambil fungsi MBHT, kalau nak buat bangsawan di sana, silakan,” kata beliau.
Abang Johari dalam pada itu mendedahkan setakat ini kerajaan negeri telah mengambil alih dua bangunan strategik di dalam kawasan Satok
“Iaitu Rumah ‘Datuk Patinggi Abang Abdillah’ yang menyaksikan acara 338 yang memperjuangkan masa depan Sarawak sudah kita ambil, dan seterusnya Padang Pasir kita transformasikan dengan HIKMAH, Jambatan Bintangor kita telah bangunkan dengan ikonik yang baharu, sekarang terpulang dengan cerdik pandai anak Melayu untuk memikir masa depan,” kata beliau.
Untuk rekod, Rumah ‘Datuk Patinggi Abang Abdillah’ yang dikenali sebagai; Darul Kurnia dibina oleh Abang Abdillah iaitu patriot kemerdekaan Sarawak.
Pada ketika itu, Datuk Patinggi Abang Abdillah terkenal sebagai peneraju bagi Gerakan Anti-Penyerahan yang menentang empayar British.
Rumah agam yang kini premis sekolah Cina di Jalan Haji Taha itu merupakan saksi bisu acara 338 iaitu menjadi lokasi kepada ratusan kakitangan awam telah meletakkan jawatan secara beramai-ramai sebagai tanda protes terhadap pihak British dengan mengikuti Gerakan Anti-penyerahan.- TVS