MIRI, 11 Mei: Pemergian Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal merupakan satu kehilangan besar bagi rakan karibnya, Datuk Gerawat Gala.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) itu berkata, pemergian yang tidak dijangka itu lebih perit kerana banyak kenangan yang di kongsi bersama sepanjang karier politik mereka.
“Saya sangat bersedih kerana beliau meninggalkan kita secara mengejut.
“Banyak yang kami tempuh bersama. Saya kenal beliau sewaktu menuntut di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang dan seterusnya di Universiti Malaya (UM).
“Pada tahun 1982 apabila beliau dicalon sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Parlimen Bukit Mas, saya sendiri bersama beliau ke Limbang dan saya bantu beliau menyediakan kertas penamaan calon.
“Saya juga menghadiri majlis angkat sumpah beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Negara pada Februari lalu,” katanya dengan sebak kepada pemberita.
Kata Gerawat, mendiang Mutang juga adalah satu-satunya wakil kaum Dayak amnya dan etnik Lun Bawang khasnya, yang menggalas jawatan tertinggi di Malaysia.
“Beliau juga merupakan satu sosok yang begitu setia dalam tugasnya.
“Selain itu, mendiang sentiasa mengutamakan rakyat ketika melaksanakan tugasan dan pastinya ini merupakan satu kehilangan yang amat besar bagi saya secara peribadi,” tambahnya.
Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu menambah, mendiang Datuk Mutang Tagal merupakan penyumbang kepada budaya setia kepada keimpinan dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) serta mengukuhkan perpaduan dalam parti sehingga hari ini.
Menurutnya, Mutang yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB amat setia kepada kepimpinan sewaktu dipilih sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas pada tahun 1986.
Malahan mendiang (Mutang) katanya, berhasrat untuk meneruskan agenda transformasi Parlimen yang dirancang kerajaan serta menggunakan pengalaman dan pengetahuannya sebagai pengamal undang-undang bagi memperkasakan serta memartabatkan kedudukan Dewan Negara dan Parlimen sebagai badan legislatif di negara ini seperti diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Mutang, 70, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pada 11.46 pagi Jumaat.
Beliau menerima rawatan di IJN setibanya dari Azerbaijan pada 6 Mei lalu, susulan lawatan kerja bermula 29 April lalu dan pulang lebih awal daripada yang dijadualkan.
Speaker Dewan Negara itu mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Dunia mengenai Dialog Antara Budaya yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mei di Baku.
Pada 19 Feb lalu, Mutang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20 menggantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletak jawatan susulan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Mendiang mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin pertama daripada etnik Lun Bawang dilantik ke jawatan tersebut. -TVS