KOTA SAMARAHAN, 11 Mei: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dicadangkan untuk menganjurkan Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) secara tahunan bermula tahun hadapan.
Cadangan itu dikemukakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah setelah mendapati penganjuran festival tersebut yang diadakan pada dua tahun sebelum ini iaitu pada tahun 2019 dan 2022 memberikan pelbagai manfaat khususnya kepada golongan peniaga dan usahawan di sekitar Samarahan.
Katanya lagi, kementeriannya juga bersedia membantu MPKS dalam menyuntik dana bagi membangunkan festival tersebut secara tahunan.
“Saya rasa bagus diadakan (SFCF) tiap-tiap tahun, kalau dapat diadakan oleh MPKS. Dari segi kewangan kita boleh bantu dari kementerian.
“Kita melihat ini (SFCF) sebagai peluang untuk mengangkat usahawan-usahawan di Samarahan dan selain daripada itu juga untuk (menarik) pelancong-pelancong daripada luar,” katanya lagi.
Abdul Karim berkata demikian dalam ucapan perasmian Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan (SFCF) yang berlangsung di Aiman Mall di sini, malam tadi.
Antara yang hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datu Sherrina Husaini, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pengerusi MPKS, Dato Peter Minos
Tahun ini SFCF berlangsung selama 10 hari berbanding 7 hari dua tahun penganjuran sebelumnya. Festival ini bermula semalam, 10 Mei dan akan berakhir pada 19 Mei ini.
Lebih 80 peniaga tempatan menawarkan pelbagai juadah tradisional, panggang, makanan kering, produk kraftangan dan berasaskan produk gula apong mengambil bahagian.
Turut diadakan beberapa pertunjukan kebudayaan tempatan antaranya Zapin Sindang, Bertandak dan Bermukun, Gendang Pampat, Gendang Cina dan persembahan budaya Bugis
Jelas Abdul Karim lagi, pembangunan pesat yang berlaku di Kota Samarahan membolehkan penganjuran SFCF dilihat sebagai satu tarikan terutama kepada penduduk di kawasan sekitaran untuk memeriahkan bahagian Samarahan.
“Dalam kawasan Samarahan banyak juga yang akan kita bangunkan. Apabila pelancong ini datang selain daripada melihat produk pelancongan, mereka juga akan mahu menikmati makanan dan melihat kebudayaan kita yang ada,” katanya lagi. -TVS