LIMBANG, 11 Mei: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan mengaktifkan dan menghidupkan kembali 18 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini tahun ini dalam memperkasa perkhidmatan penyelamatan di kawasan terpencil.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman berkata, di Sarawak ketika ini mempunyai 54 PBS dan hanya 34 pasukan yang aktif.
Katanya, 18 pasukan PBS tidak aktif menyukarkan pengagihan geran sebanyak RM3,000 yang disalurkan Kerajaan Persekutuan selain bantuan dan kelengkapan untuk berkhidmat lain.
“Bomba sukarela yang ada di Sarawak adalah berjumlah 54, tetapi laporan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) hanya 36 PBS yang aktif.
“Ini menyukarkan dan menjejaskan penyaluran geran RM3,000 daripada kerajaan kepada PBS yang tidak aktif,” katanya ketika ditemui pada Lawatan Pemantauan dan Libat Urus Pasukan Bomba Sukarela (PBS) JBPM Negeri Sarawak ke Balai Mini PBS Bakti Gabungan Lima Buah Kampung di Kampung Telahak hari ini.
Khiruddin menjelaskan lagi terdapat keperluan agar operasi PBS yang tidak aktif untuk dikaji semula, bagi memastikan bantuan dan geran dapat diagihkan kepada PBS terbabit. -TVS