KUCHING, 11 Mei: Pemilik Segakcut, Akmal Hibatullah Irfan Ahmad Affiandey yang menyediakan perkhidmatan menggunting rambut tidak lokek berkongsi kemahiran yang dimilikinya kepada mereka yang mahu mempelajari bidang itu.
Menurutnya, walaupun hanya menjalankan perniagaan kecil tidak menghalangnya kepadanya membuka peluang mencurah ilmu demi berkongsi rezeki kepada insan yang lain.
“Kita bermula pada tahun 2020 menjalankan perniagaan ini dengan skala yang kecil, kita sentiasa menerima mereka yang ingin menimba pengalaman dalam perkhidmatan menggunting rambut. Perkembangan kami setakat ini, kami sering menerima pelajar lepasan sekolah yang menyertai pasukan kami dalam kerja separuh masa termasuk penuntut Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS).
“Kami menyediakan latihan bagi mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam menggunting rambut. Sebaik sahaja tamat tempoh latihan, kami akan menghantar mereka ke cawangan yang berdekatan dengan tempat tinggal mereka,” katanya ketika ditemui TVS selepas Majlis Perasmian Program BizFrancais Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching hari ini.
Beliau katanya, mula menyertai PERNAS pada tahun lalu dengan tujuan untuk menimba pengalaman dan pengetahuan.
“Hasil bimbingan PERNAS melalui program Business In Transformation (BIT), kami yang kosong dengan ilmu kini lebih mengetahui dari aspek atur kerja, pengurusan dan memberi motivasi kepada kami untuk menjadi syarikat francaiso,” katanya lagi.
Tambahnya, Segakcut menawarkan potongan rambut dengan harga yang berpatutan terutamanya bagi pemegang Kenyalang Gold Card hanya serendah RM5 sahaja.
Akmal dalam masa sama merancang Segakcut yang kini mempunyai cawangan di Kuching, Samarahan, Serian dan Siburan dapat diperluaskan lagi sayapnya sehingga seluruh Sarawak. – TVS