KOTA SAMARAHAN, 10 Mei: Seorang wanita antara empat suspek yang diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan lapang Taman Samarindah di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Jaimi Husin berkata, suspek terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 20 hingga 23 tahun ditahan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dalam Operasi Tapis.
“Pemeriksaan tubuh badan telah dilakukan di mana salah seorang suspek lelaki memiliki satu paket plastik berwarna merah yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 0.70 gram,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, kesemua suspek telah dibawa ke Pejabat BSJN IPD Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya.
“Ujian air kencing telah dijalankan ke atas suspek dan didapati dua lelaki dan seorang wanita dapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamnie manakala seorang lelaki dapati negatif dadah..
“Salah seorang suspek lelaki yang memiliki dadah berbahaya jenis syabu telah ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952” ujarnya.
Katanya, permohonan reman telah dipohon oleh Pegawai Penyiasat untuk memohon tahanan reman ke atas suspek.
“Suspek lelaki dan perempuan ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Pihak polis dari BSJN IPD Kota Samarahan bergiat aktif melakukan penugasan operasi tapis di kawasan pentadbiran Kota Samarahan bagi membendung gejala aktiviti penyalahgunaan dadah,” tegasnya. -TVS