MADINAH, 10 Mei: Pengunjung yang datang ke Arab Saudi bagi tujuan melaksanakan ibadah haji perlu mendapatkan permit secara sah, kata Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah Roslan Sharif.
Menurutnya, mereka yang didapati tidak mematuhi peraturan tersebut berdepan tindakan denda oleh kerajaan Arab Saudi.
“Tidak kira siapa sahaja yang berada di sini pada ketika ini perlu mendapatkan permit haji terlebih dahulu, kerajaan Arab Saudi pada tahun ini akan bertindak lebih tegas sebab perkara ini bukanlah sesuatu yang baru.
“Kali ini sesiapa yang tertangkap sekiranya tidak memiliki permit haji akan dikenakan denda sebanyak 10,000 Riyal dan akan dihantar pulang ke negara asal,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.
Roslan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan segelintir rakyat Malaysia yang pergi ke Tanah Suci dengan menggunakan kenderaan sendiri seperti bermotosikal dan berbasikal.
Katanya masyarakat perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh sesebuah negara.
“Saya jangkakan selepas ini mungkin ada yang menggunakan basikal, motosikal dan berkereta. Sesiapa sahaja mereka perlu mendapatkan permit haji melalui Lembaga Tabung Haji,” tegasnya.
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak 10,000 riyal (SAR10,000) bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa permit haji.
Menerusi infografik yang dikongsikan kementerian itu di platform X, tujuh kawasan berkenaan adalah Makkah, Wilayah Tengah, Masyair, stesen kereta api Haramain di Rusayfah, pusat kawalan keselamatan, pusat pengasingan dan pusat kawalan keselamatan sementara. – TVS