KUCHING, 10 Mei: Wakil rakyat digalakkan memberikan maklum balas mengenai tindakan yang diambil oleh agensi-agensi berkaitan berkenaan aduan rakyat yang dikemukakan melalui Talikhidmat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, penyelesaian kes yang dikemukakan melalui Talikhidmat bergantung dengan respon diberikan agensi-agensi berkaitan.
Bagi kes-kes yang diberikan tidak sepadan dengan situasi sebenar di lapangan, beliau menggesa wakil rakyat untuk melawat agensi-agensi berkaitan atau menghantar maklum balas melalui Talikhidmat.
“Jika wakil rakyat menerima maklum balas mengenai aduan yang telah diselesaikan, tetapi sebenarnya apabila mereka melawat ke lapangan dan mendapati isu tersebut masih belum diselesaikan, saya mencadangkan mereka bertanya dengan agensi-agensi berkaitan atau pada masa yang sama, memberikan kami (Talikhidmat) gambar-gambar isu atau perkara yang belum diselesaikan.
“Kami sangat menghargai maklum balas dan respon sebegini kerana ia membina dan pastinya akan membantu dalam meningkatkan keseluruhan proses pentadbiran dalam menangani aduan awam,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap Yau Sin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, sistem Talikhidmat telah mengalami banyak penambahbaikan teknikal dan pentadbiran sejak diperkenalkan pada tahun 1996, yakni Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) mengambil alih sebagai koordinator sistem pada 2019.
Talikhidmat telah meningkatkan proses pengurusan aduan di Sarawak, menjalankan peranannya dalam meningkatkan sistem penghantaran kerajaan dan akhirnya menyediakan perkhidmatan kerajaan yang lebih efektif dan cekap kepada orang awam, katanya.
“Bagaimanapun, beberapa aduan tidak dapat diselesaikan kerana ia mungkin memerlukan masa untuk penyelesaian jangka panjang,” katanya. – TVS