KUCHING, 10 Mei: Kerajaan Sarawak membenarkan senapang patah untuk diwarisi daripada ibu bapa kepada anak lelaki atau anak perempuan sahaja.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata bagaimanapun pemilikan senapang patah mestilah didaftarkan semula dan permohonan tersebut perlu lulus tapisan keselamatan dan kesihatan.
“Sejajar dengan keperluan dan budaya tempatan, polisi semasa Kerajaan Sarawak telah membenarkan senapang patah untuk diwarisi dengan syarat pemilikan tersebut telah didaftarkan semula dan permohonan mestilah lulus tapisan keselamatan dan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Beliau turut berkata statistik pemilik senapang patah secara keseluruhan di Sarawak dan secara spesifik di bahagian Kapit.
“Statistik pemilik senapang patah secara keseluruhannya di Sarawak sebanyak 45,568 manakala statistik pemilik senapang patah di bahagian Kapit sebanyak 5,646,” ujarnya. – TVS