WASHINGTON, 10 Mei: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken memberi jaminan kepada pemimpin Arab bahawa Washington menentang pemindahan secara paksa penduduk Palestin dari Gaza.
Jaminan itu dibuat menerusi panggilan telefon bersama Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry bahawa Presiden AS Joe Biden tidak menyokong operasi ketenteraan di Rafah malah mahu membuka semula persimpangan agar bantuan kemanusiaan diteruskan.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Selasa memaklumkan, Israel telah menaikkan benderanya di sempadan Rafah dan merampas pos sempadan utama Mesir dari Hamas.
Sejak konflik peperangan Israel ke atas Gaza, sekurang-kurangnya 1.4 juta rakyat Palestin telah berlindung di Rafah meskipun Israel telah mengeluarkan arahan pemindahan ke bahagian timur bandar itu.
Sejak serangan 7 Oktober lalu, sebilangan sayap kanan Israel telah memikirkan perpindahan penduduk Palestin keluar dari Gaza yang diperintah oleh militan.
Untuk rekod, sejak konflik itu berlaku, sekurang-kurangnya 34,789 orang di Gaza terkorban kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. – TVS