MIRI, 9 Mei: Pertandingan robotik iaitu Robomission Battle Lego Education Spike Prime ‘Borneo – International Robot Tournament (IRT)’ menjadi kayu ukur kepada kemajuan luar biasa dalam teknologi selain menyaksikan potensi minda manusia yang tidak terbatas.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew menyifatkan pada masa sama, pertandingan sebegini juga merupakan peluang untuk orang luar melawat keindahan Bandaraya Miri.
“Sementara kita menyelami hari-hari yang dipenuhi dengan persaingan sengit dan berinovasi, marilah kita mengingati intipati sebenar acara ini. Di sebalik mengejar kemenangan terdapat peluang untuk kerjasama, pembelajaran dan pertumbuhan. Marilah kita menerima peluang ini dengan hati dan minda yang terbuka, menjalin hubungan yang merentasi sempadan dan membentuk masa depan robotik,”
“Sepanjang anda berada di sini, saya menggalakkan anda bukan sahaja mempamerkan kehebatan teknikal anda tetapi juga menyelami kekayaan budaya dan warisan Miri. Terokai bandar kami, libat dengan komuniti kami dan nikmati makanan di sini,” katanya.
Sebastian berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Desmond Douglas Jerukan semasa merasmikan Pertandingan Borneo – IRT di sini, pada Khamis.
Pertandingan Borneo – IRT diadakan selama empat hari bermula pada 8 sehingga 11 Mei 2024 dengan empat kategori iaitu Robomission Elementary bagi 8 sehingga 12 tahun. Robomission Junior bagi 13 sehingga 15 tahun, Robomission Senior bagi 16 sehingga 18 tahun dan RoboSports Double Tennis bagi 11 sehingga 18 tahun.
Pertandingan ini telah menerima penyertaan seramai 149 pelajar dari seluruh Malaysia termasuk luar negara seperti Vietnam, Macau, China, dan Taiwan.
Turut diadakan juga Persidangan Pengaturcaraan Perdana SPIKE Pendidikan Robot Antarabangsa LEGO menampilkan tiga tetamu jemputan dari Malaysia dan Taiwan yang merupakan jurulatih World Robot Olympiad (WRO). -TVS