KUCHING, 9 Mei: Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan dua Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan Tambahan melibatkan sejumlah RM514,002,003 sebagai perbelanjaan tambahan bagi peruntukan sebelum ini.
Kedua-dua RUU yang dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
RUU Perbekalan Tambahan (2023) melibatkan jumlah RM267,928,353 dan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2024) sebanyak RM246,073,650.
Menurut Uggah, ia adalah untuk menampung kos pelbagai perkhidmatan yang ditanggung oleh pelbagai kementerian dan jabatan bagi dana yang tidak mencukupi dalam anggaran perbelanjaan pada 2023.
“Sementara itu, Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2024) menuntut perbelanjaan tambahan, antara lain, sejumlah RM112,486,000 yang diperlukan oleh Jabatan Premier Sarawak.
“Sejumlah RM78,000,000 diperlukan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan bagi menampung pengurusan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan sejumlah RM16,049,000 diperlukan untuk penganjuran Para SUKMA,” katanya. – TVS