KUCHING, 8 Mei: Kestabilan politik Sarawak berjaya diterjemahkan dengan kemasukan pelaburan asing ke negeri ini menerusi dasar perindustrian yang dilaksanakan oleh Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk seterusnya menjana ekonomi Sarawak.
Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ketika menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sarawak ketika itu menubuhkan Kementerian Perindustrian Sarawak pada 1987 bagi menggalakkan pembangunan sektor perindustrian.
“Saya telah diberi kepercayaan oleh Almarhum untuk menerajui kementerian tersebut pada ketika itu. Antara projek yang menjadi ‘game changer’ kepada pembangunan perindustrian ketika itu, adalah dengan pembinaan Zon Perindustrian Bebas Samajaya yang mengkhusus kepada industri elektrik dan elektronik,” katanya.
Tidak terhenti di situ sahaja, Tun Abdul Taib membangunkan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) bagi merancakkan lagi ekonomi Sarawak seiring dengan keperluan global.
SCORE mempromosikan pembangunan tenaga boleh baharu dengan Sarawak kini merupakan salah satu pengeluar tenaga hidro terbesar di rantau ini dengan adanya empangan hidroelektrik Batang Ai, Bakun dan Murum.
“SCORE telah berjaya menarik pelaburan bernilai tinggi sekaligus mewujudkan industri hiliran serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Ini sekali gus telah merancakkan lagi pembangunan sosioekonomi di wilayah tengah Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul penghargaan mantan Yang di-Pertuan Negeri Sarawak semasa Persidangan DUN Sarawak di sini pada Rabu. -TVS