BRUSSELS, 8 Mei: Pelajar Free University of Brussels di Belgium pada Selasa menyertai protes di seluruh dunia membantah serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza, lapor Agensi Anadolu.
Membawa bendera Palestin dan sepanduk dengan slogan pro-Palestin seperti “Palestine is Standing up for Humanity,” pelajar menduduki Institut Pendidikan Fizik di kampus pusat universiti berkenaan.
“Kami mahu menyeru masyarakat antarabangsa untuk menghentikan serangan Israel ke atas Rafah,” kata pelajar itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa protes dijangka berlangsung selama tiga hari dan mereka akan memboikot kelas.
Protes itu turut diadakan di Universiti Ghent dengan sekumpulan pelajar yang membantah menuntut universiti itu memutuskan semua hubungan mereka dengan institusi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam genosid yang berterusan di Gaza oleh Israel. -TVS