KUCHING, 8 Mei: Sebanyak 1, 403 jumlah permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan yang melibatkan kanak-kanak dan individu berusia 21 tahun ke bawah telah diterima Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sarawak bagi tempoh 2018 – 2023.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 657 permohonan telah mendapat keputusan, manakala 746 permohonan masih diproses.
“Setakat tempoh Januari hingga Mac tahun 2024 pula, sebanyak 50 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga permohonan telah mendapat keputusan, manakala 47 permohonan masih dalam proses,” katanya.
Ujar Fatimah lagi, kes-kes yang masih tertunggak akan dibawa ke Mesyuarat Jawantankuasa Khas Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, Perlembagaan Persekutuan yang akan datang, di mana jawatankuasa tersebut telah bermesyuarat sebanyak 27 kali dan memperakukan sejumlah 1, 188 permohonan kepada Menteri Dalam Negeri (MDN) untuk mendapatkan keputusan.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor yang ingin mengetahui jumlah kes kewarganegaraan di Sarawak yang telah diselesaikan semasa sesi soal jawab di Persidangan DUN Sarawak di sini, hari ini.
Selain daripada itu, Fatimah menegaskan, bukan semua individu yang dilahirkan di dalam negara boleh memperoleh status kewarganegaraan melalui kuat kuasa undang-undang atau secara automatik.
Mengulas lanjut, ujar Fatimah lagi, antara faktor dalam menentukan kewarganegaraan seseorang individu iaitu berdasarkan status perkahwinan ibu bapa dan kelahiran yang berlaku sebelum pendaftaran perkahwinan ibu bapa mengikut perundangan negara.
“Faktor kedua ialah ibu pemohon sendiri tiada taraf kewarganegaraan ataupun status belum ditentukan. Faktor ketiga, melibatkan bayi yang dibuang, bermakna sewaktu dijumpai tidak diketahui siapa ibu bapa bayi tersebut dan tidak diketahui status kewarganegaraan terutama sekali ibu kepada bayi yang telah dibuang. Faktor keempat ialah pengangkatan anak yang tidak teratur,” katanya. -TVS