MADINAH, 7 Mei: Pasukan Perubatan Tabung Haji (TH) tampil menyediakan perkhidmatan pakar psikiatri bagi menangani sebarang masalah tekanan yang akan dihadapi oleh bakal jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci pada musim haji 1445H/2024.
Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Mahyin Kudong berkata, jemaah haji dikhuatiri akan menghadapi masalah emosi yang tidak stabil, misalnya berdepan cuaca panas yang tidak menentu selain merasa sedih dan rindu apabila terpaksa meninggalkan keluarga tercinta di tanah air.
“Turut bersama kita dalam pasukan perubatan adalah pakar psikiatri yang akan memberikan khidmat kepada jemaah haji sekiranya ada kes-kes yang melibatkan masalah mental di kalangan mereka.
“Selain daripada itu bahagian rombongan kebajikan turut menyediakan perkhidmatan kaunseling sekiranya ada isu melibatkan tekanan serta permasalahan yang berkait dengan mental kita akan cuba tangani bersama-sama,” katanya.
Dalam pada itu katanya lagi, turut membantu dalam menyantuni jemaah haji adalah pihak dari unit pembimbing agama sekiranya timbul konflik yang berpunca daripada masalah tekanan dan seumpamanya.
Dr Mahyin tidak menafikan bahawa keadaan cuaca panas haba yang dialami oleh penduduk di Arab Saudi ini sukar untuk diterima oleh masyarakat Malaysia yang baharu pertama kali ke sini.
“Kita amat galakkan jemaah haji untuk menyediakan botol penyembur air supaya mereka dapat menyemburkan wajah mereka dengan air pada setiap masa sekiranya keadaan terlalu panas,” ujarnya lagi.
Pada musim haji tahun ini, TH telah menyediakan Pusat Rawatan Madinah di Hotel Roha Al Madinah serta klinik-klinik di dua zon TH di Madinah untuk menampung keperluan perubatan jemaah haji.
“Untuk makluman kita ada pusat rawatan Madinah yang terletak di hotel Roha Al Madinah, dan terdapat klinik yang akan membantu kita di dua zon iaitu di Hotel Movenpick ( zon 1 ) dan Emaar Royal Hotel ( zon 2),” katanya lagi.
Sebaik jemaah haji tiba di Madinah pada 9 Mei ini, meraka dijadual terlebih dahulu akan berada di sini selama enam hari, lima malam untuk melakukan sesi ziarah luar dan dalam anjuran TH. -TVS