KUCHING, 7 Mei: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak turut meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan) 2024, hari ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pindaan diluluskan bagi membenarkan fungsi Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) diperkemaskan bagi mengelakkan pertindihan tugas dua entiti berkenaan.
Menurut beliau, pindaan tersebut turut merangkumi memperkemas dan memperhalusi fungsi dan kuasa SFC dalam memberi tumpuan kepada peruntukan di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam, 1998, dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar, 1998; Pindaan kepada pelantikan Timbalan Pengerusi Lembaga; Pindaan kepada peruntukan yang berkaitan dengan pekerja dan Penggantiangelaran “Ketua Pegawai Eksekutif” kepada “Pengurus Besar”.
Awang Tengah memberitahu, pada tahun 2020 kerajaan telah memberi mandat kepada JHS untuk memikul semua tanggungjawab yang sebelum ini dipegang oleh SFC seperti yang diperuntukkan di bawah Ordinan Hutan, 2015, yang meliputi pengurusan hutan, penyelidikan dan pembangunan, pematuhan, kejuruteraan dan kutipan hasil.
“Supaya pengagihan kuasa skop kerja itu jelas di antara SFC dan JHS dan mereka juga mempamerkan kefahaman kenapa Timbalan Pengerusi kita dalam RUU ini mengesyorkan supaya Timbalan Menteri yang bertanggungjawab ke atas Sumber Asli akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi,” katanya pada Persidangan Hari Kedua Mesyuarat Pertama bagi Penggal Ketiga DUN Sarawak ke-19 di sini, hari ini.
Fungsi perhutanan menurut beliau lagi seperti pengurusan hutan lestari, penghutanan semula, penyelidikan perhutanan dan dasar perhutanan di bawah Ordinan tersebut kini akan dihapuskan dengan pindaan ini.
Dalam erti kata lain, Awang Tengah memberitahu fungsi itu akan berada di bawah bidang kuasa Jabatan Hutan Sarawak untuk membuat persempadanan yang jelas mengenai peranan dan fungsi antara SFC dan JHS.
“Skop tanggungjawab SFC termasuk mengurus sumber semula jadi seperti flora dan fauna dalam taman negara dan perlindungan hidupan liar di seluruh Sarawak.
“Ini adalah selari dengan fokus Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak untuk mengimbangi pemuliharaan dengan kegunaan ekonomi seperti pelancongan,” jelaa beliau.
Dalam pada itu, beliau menambah RUU ini juga bertujuan untuk menghapuskan Seksyen 16 Ordinan Utama (Section 16 of the Principal Ordinance).
“Peruntukan yang berkaitan dengan pekerja di bawah seksyen 16 tidak lagi relevan kerana ia telah memenuhi tujuan yang dimaksudkan,” tegas beliau.
Terdahulu, pindaan yang mendapat sokongan sebulat suara pada DUN hari ini turut menyaksikan tujuh orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengambil bahagian dalam perbahasan RUU tersebut. – TVS
– TVS