BUKIT MERTAJAM, 7 Mei: Bayi perempuan berusia tujuh bulan maut selepas didapati tidak sedarkan diri semasa tidur ketika dalam buaian di rumah pengasuhnya, di sini semalam.
Mangsa disahkan meninggal dunia selepas tiba di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini, kira-kira pukul 4 petang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner (ACP) Helmi Aris berkata, siasatan mendapati bayi itu ditinggalkan oleh ibu bapanya di rumah pengasuh berusia 30-an tersebut pada setiap hari bekerja.
Menurutnya, kejadian itu disedari ketika mangsa sedang tidur di dalam buaian namun didapati tidak sedarkan diri ketika pengasuhnya membetulkan kedudukan bayi itu.
“Suspek (pengasuh) segera membawa bayi berkenaan ke HSJ untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan telah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian akibat jangkitan kuman pada saluran pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, susulan kejadian itu, polis menahan pengasuh tersebut yang merupakan warga tempatan dan dia direman selama empat hari bermula hari ini bagi siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. – TVS