KUCHING, 6 Mei: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak atas pemergian Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Dalam ucapan pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, Tun Wan Junaidi berkata Allahyarham merupakan pemimpin ulung yang bertanggungjawab terhadap pemodenan Sarawak.
“Sumbangan Almarhum tidak ternilai, khususnya sepanjang tempoh 33 tahun sebagai Ketua Menteri dan 10 tahun sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak,” katanya.
Menurutnya, kepimpinan Tun Taib berjaya mengubah status ekonomi dan taraf hidup rakyat Sarawak yang kini merupakan wilayah progresif dengan ekonomi berasaskan industri berteknologi tinggi dan infrastruktur moden.
Malah beliau menyifatkan pemergian Allahyarham Tun Taib sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada Sarawak, tetapi Malaysia amnnya.
“Sumbangan Almarhum akan sentiasa kita kenang, saya percaya legasi pembangunan Almarhum akan diteruskan oleh barisan kepimpinan Kerajaan Sarawak,” katanya.
Justeru, sempena persidangan DUN Sarawak kali ini, beliau berharap agar semua ahli dewan menjadikan sesi ini sebagai medium dan platform yang efektif serta efisien bagi membentuk masa depan Sarawak lebih cerah. – TVS