MADINAH, 6 Mei: Pusat Rawatan Tabung Haji (TH) Madinah memperoleh kebenaran pengoperasian bermula hari ini, kata Pengarah Operasi Madinah (Perubatan), Dr Mahyin Kudong.
Katanya, pusat rawatan tersebut turut dibantu oleh klinik tambahan di dua zon bagi menampung keperluan perubatan untuk jemaah pada operasi musim haji tahun ini.
“Untuk makluman kita ada pusat rawatan Madinah yang terletak di hotel Roha Al Madinah, dan terdapat klinik yang akan membantu kita di dua zon iaitu di Hotel Movenpick ( zon 1 ) dan Emaar Royal Hotel ( zon 2).
“Perkhidmatan yang disediakan di Madinah ini dilengkapi dengan peralatan asas seperti wad dengan kapasiti 33 katil, unit kecemasan, x-ray, fisioterapi dan makmal perubatan selain nasihat pakar pemakanan,’ katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, dengan adanya semua kemudahan itu, ia dapat membantu dalam menyantuni bakal Duyufurrahman ‘Tetamu Allah’ ketika menziarahi makam Rasulullah SAW dalam sesi lawatan (ziarah luar dan dalam) ketika berada di bumi Madinah Al Munawwarah.
Dalam pada itu katanya lagi, seramai 53 orang petugas perubatan ditempatkan ke kawasan masing-masing dalam memastikan sebarang keperluan perubatan dapat disampaikan dengan sebaik mungkin.
“Jumlah kekuatan sepenuhnya di Madinah ini, apabila memasuki kemuncak fasa pertama nanti adalah seramai 53 orang petugas, yang mana seramai enam orang doktor pakar, 16 orang jururawat, 31 orang lagi adalah pembantu perubatan dan ia juga akan dibantu oleh petugas yang telah dilantik pihak TH,” katanya lagi.

Katanya, meskipun waktu operasi di Pusat Rawatan Madinah mengikut waktu pejabat, namun pihaknya akan memastikan keperluan perubatan jemaah haji dapat ditangani dengan sebaik mungkin meskipun dituntut berkhidmat untuk tempoh 24 jam.
“Kami akan berkhidmat untuk menyantuni Duyufurrahman dalam tempoh 24 jam, kita ada jadual syif jadi jika ada keperluan untuk merawat sebarang kecemasan kita akan melayani semua bakal jemaah haji dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan Arab Saudi telah meluluskan 31,600 kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi tahun 1445H/2024 dan kelulusan itu diberikan berdasarkan jumlah 0.1 peratus jumlah penduduk Islam di negara ini.
Tabung Haji akan menerima kedatangan bakal jemaah haji Malaysia pertama pada penerbangan kumpulan pertama 9 Mei ini. -TVS