KUCHING, 6 Mei: Komitmen Kerajaan Persekutuan secara berterusan amat diperlukan dalam menyokong pembangunan Sarawak secara holistik.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia melibatkan aspek sosioekonomi serta infrastruktur yang masih memerlukan perhatian.
Ini khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan, keselamatan, pembangunan sempadan dan jaringan jalan raya utama.
“Saya memuji komitmen tinggi Kerajaan Sarawak untuk menyediakan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti untuk rakyat Sarawak.
“Saya gembira kerana Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan pendekatan Kerajaan Sarawak untuk membina dan membiayai terlebih dahulu projek-projek pendidikan dan kesihatan, dan akan dibayar balik oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Melalui pendekatan ini, jelasnya, pembangunan kemudahan pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak dapat dipercepatkan.
Dalam pada itu beliau turut menyentuh perihal pembangunan keselamatan sempadan di Sarawak yang disifatkannya perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan.
“Ini termasuklah pembinaan dan naiktaraf kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta pos-pos kawalan sempadan di antara Sarawak dengan Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia,” katanya.
Kemudahan ini sangat penting bagi menjamin keselamatan negara serta memudahkan kawalan pergerakan barangan dan pelawat bagi mengoptimumkan aktiviti ekonomi rentas sempadan.
Selain itu, tegas Tun Wan Junaidi, Sarawak juga memerlukan sokongan dan peruntukan bagi pembinaan infrastruktur seperti jaringan jalan raya utama, projek tebatan banjir, kawalan hakisan sungai dan pantai serta kemudahan telekomunikasi, bekalan air dan elektrik.
Beliau berharap Kerajaan Persekutuan akan terus komited dalam melaksanakan projek pembangunan infrastruktur asas di Sarawak bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonomi. – TVS