KUCHING, 6 Mei: Kerajaan menggalas tanggungjawab besar dalam membawa arus pembangunan dan perkhidmatan kepada setiap rakyat Sarawak.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kedudukan geografi Sarawak yang luas merupakan cabaran besar dalam pembangunan dan penyediaan perkhidmatan yang cekap kepada rakyat di setiap pelosok wilayah.
“Saya yakin rancangan pembangunan di bawah Post Covid-19 Development Strategy (PCDS) 2030 yang berteraskan keterangkuman sosial, tiada rakyat akan terpinggir dalam arus pembangunan.
“Projek berimpak tinggi dan berjiwa rakyat di bawah Projek Transformasi Luar Bandar dan Projek Rakyat sudah pasti akan meningkatkan taraf hidup dan menjaga kebajikan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Katanya, hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek berimpak tinggi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah menyaksikan ekonomi Sarawak berkembang dan menjadi penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Malaysia, selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta melepasi ekonomi Johor.
“Saya berharap kemakmuran ekonomi ini dapat dikecapi oleh setiap lapisan masyarakat.
“Oleh itu, usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan pendapatan isi rumah amatlah bertepatan selaras dengan objektif Keterangkuman Sosial,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan keyakinan Sarawak akan terus maju dan muncul sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia. – TVS