KUCHING, 6 Mei: Kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan merupakan ‘ramuan’ yang penting, terutamanya bagi mengembalikan hak dan tuntutan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata hubungan akrab itu sangat penting, khususnya bagi memastikan keselarasan dasar dan polisi pembangunan Sarawak.
“Pengembalian hak-hak Sarawak yang termaktub di bawah MA63 adalah perkara yang sangat dekat di hati saya.
“Saya menyeru Kerajaan Sarawak untuk terus menuntut hak-hak yang terhakis dikembalikan semula kepada Sarawak dan yang belum dilaksana sebagai yang dijanji di dalam MA63 tersebut dilaksanakan segera selaras dengan MA63, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Beliau juga menzahirkan penghargaan atas komitmen Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah membentuk Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jawatankuasa Teknikal sebagai platform untuk membincangkan tuntutan Sarawak.
“Saya yakin dengan kerjasama rapat dan keakraban Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, semua hak dan tuntutan Sarawak di bawah MA63 dapat direalisasikan,” tambah Tun Dr Wan Junaidi.
Katanya lagi, Sarawak memerlukan jumlah peruntukan yang besar daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan deni kesejahteraan rakyat.
“Dalam hal ini, saya menyeru supaya Kerajaan Persekutuan akan terus menyediakan peruntukan pembangunan yang secukupnya selaras dengan hak dan status Sarawak sebagai sebuah wilayah,” ujarnya. – TVS