MADINAH, 4 Mei: Lebih 150 rombongan petugas bagi operasi musim haji 1445H/2024M yang kini berada di sini dibawa untuk melakukan ziarah di beberapa lokasi bersejarah Islam.
Meskipun berdepan cuaca panas ia tidak menghalang semangat mereka untuk meneruskan sesi ziarah tersebut bagi meningkatkan kefahaman masing-masing.
Sesi ziarah anjuran Tabung Haji itu bermula di Masjid Quba’ yang membawa petugas haji untuk melihat masjid pertama yang didirikan Nabi Muhammad SAW sebelum meneruskan perjalanan ke ladang kurma berhampiran.

Lawatan tersebut kemudiannya diteruskan ke lokasi bersejarah Islam di Bukit Uhud di mana kawasan tersebut turut menghimpunkan makam para syuhada di kawasan sekitar.
Selain daripada itu, kawasan pergunungan Uhud itu juga merupakan kawasan yang menempatkan Bukit Ar Rumat yang menjadi saksi perang Uhud suatu ketika dahulu.
Menurut Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) TH, Mahmad Zukri Mad Hassan, Nabi Muhammad SAW telah menyusun strategi dengan membahagikan tentera kepada tiga pasukan iaitu pasukan kanan dan kiri berhadapan melawan musuh.
“Manakala pasukan pemanah seramai 50 orang telah ditempatkan di atas bukit Ainain.
“Semua tentera pemanah tidak dibenarkan meninggalkan tempat masing-masing kecuali dengan arahan baginda sama ada kalah atau menang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Petugas haji kemudiannya dibawa ke Masjid Qiblatain yang terkenal dengan masjid dua kiblat dan akhirnya ke Masjid Tujuh yang terletak di barat Gunung Sala’ yang juga tempat berlaku Pertempuran Khandaq.
Sesi lawatan itu juga antara lain bertujuan sebagai pengisian kepada petugas haji sebelum menyambut ketibaan bakal jemaah haji bermula 9 Mei ini.
Mereka terdiri daripada petugas pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan lain-lain pusat
perkhidmatan.
Untuk rekod seramai lebih 600 orang telah terpilih menjadi petugas Operasi Haji Tanah Suci (OHTS) untuk tahun ini yang akan memastikan semua sektor operasi berada dalam keadaan yang terbaik sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia di Madinah dan Makkah.
Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 31,600 jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini. -TVS