KUCHING, 4 Mei: Pertubuhan Greater Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak bukan sekadar gabungan daripada pelbagai organisasi, malah ia adalah komuniti yang menghimpunkan pelbagai bakat dan kepakaran untuk mencapai matlamat bersama.
Pengerusi AZAM Sarawak, Datu William Patrick Nyigor menyifatkan kekuatan pertubuhan itu terletak pada perpaduan dan kerjasama ahlinya yang terdiri daripada pelbagai bangsa.
“Kekuatan komuniti kita terletak pada perpaduan dan kerjasama ahli-ahli. Kita berusaha membina masyarakat dengan setiap individu dihargai, dihormati dan diberi peluang untuk mencapai potensi mereka sepenuhnya.
“Dalam keluarga AZAM yang agak kecil ini, kita bertuah kerana mempunyai sekurang-kurangnya kakitangan Cina, Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Raya Greater AZAM 2024 di Dewan Mahligai di sini, hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi AZAM Sarawak yang juga Pengerusi Sarawak Media Group (SMG), Dato Norhyati Mohd Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili dan Ketua Pegawai Eksekutif SMG, Kushairi Abang.
Dalam pada itu, mengulas mengenai penganjuran majlis itu, beliau berkata, ia merupakan platform bagi mengukuhkan ikatan antara ahlinya, berkongsi pengalaman dan membina hubungan yang berkekalan.
“Adalah penting bagi kita untuk meluangkan masa untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih baik, dan memperbaharui rangkaian sesama kita.
“Ini bukan sahaja amalan yang sihat tetapi ia juga memudahkan kita untuk bekerjasama dalam sesebuah organisasi mahupun antara individu,” ujarnya.
Majlis itu menyaksikan kehadiran sekitar 150 tetamu. – TVS