KUCHING, 4 Mei: Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak akan menguruskan penganjuran Persidangan Media Sarawak (SMEC) 2024 yang diadakan buat julung kalinya sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) dari 25 hingga 27 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili berkata, pihaknya akan memainkan peranan bekerjasama dengan pengelola persidangan itu iaitu Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) untuk mencapai matlamat penganjuran sekali gus menjayakannya.
“AZAM telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan persidangan itu yang dikelolakan oleh UKAS dan KDJA.
“Kita akan urus persidangan itu yang menyaksikan kehadiran panel dari Singapura, Brunei dan semenanjung Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Hari Raya Aidilfitri AZAM 2024 di sini, hari ini.
Dengan tema “Evolusi Media dalam Era Digital”, beliau berkata, seramai 600 peserta dijangka mengambil bahagian dalam persidangan dua hari itu.
Dalam pada itu, Ali yang baru sahaja dilantik sebagai CEO AZAM Sarawak pada awal bulan ini menyatakan komitmennya untuk memperluaskan rangkaian kerjasama organisasi itu bersama pihak berkepentingan.
“Saya ingin membawa rangkaian lebih meluas dengan bekerjasama bersama semua pihak termasuk kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperbanyakkan program AZAM di kawasan luar bandar.
“Selain itu, dalam era digital ini, kita perlu melihat ke hadapan dan memastikan AZAM diketahui orang ramai supaya kita benar-benar dapat menyebarkan dasar kerajaan dan pada masa sama ia membolehkan masyarakat memahami akan peranan kami,” jelasnya.
Untuk rekod, beliau menggantikan CEO terdahulu iaitu Lelia Sim Ah Hua yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 26 April 2024. -TVS