KOTA SAMARAHAN, 3 Mei: Sarawak optimis memperkasakan bidang pengurusan penjagaan atau perawatan kesihatan terutama dalam jurusan kejururawatan demi keseinambungan masa depan anak-anak muda di wilayah ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata kerajaan mahu golongan itu menerajui profesion tersebut dengan baik pada masa akan datang.
“Saya memuji dedikasi dan semangat anda dalam meneruskan kerjaya dalam bidang kejururawatan. Dengan komitmen dan daya tahan anda yang tidak berbelah bahagi, kami (kerajaan) akan terus memajukan bidang penjagaan kesihatan ini,” katanya.
Dr Sim berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng, pada Persidangan Pelajar Kejururawatan Antarabangsa Ke-2 (Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan) di Detar Putra, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, empati dan penjagaan diri merupakan dua prinsip penting yang mesti dimiliki oleh pelajar kejururawatan untuk menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan di wilayah ini.
Prrinsip empati menurutnya, memerlukan jururawat yang benar-benar mendengar dan memahami pesakit, selain memberi layanan yang baik kepada mereka bukannya sekadar kes semata-mata.
“Sementara itu, penjagaan diri pula adalah di mana jururawat mesti ingat untuk menjaga kesihatan mereka dengan berehat, mendapatkan sokongan, dan mengutamakan kesejahteraan mereka.
Sentiasa ingat bahawa penjagaan kesihatan adalah usaha kolaboratif dan akhir sekali, kekal tabah kerana dedikasi anda membuat perubahan setiap hari,” katanya lagi. -TVS