KUCHING, 3 Mei: Para kontraktor digesa agar tidak melakukan potongan kos terhadap projek pembangunan tanpa sebarang sebab hanya demi ingin mengaut keuntungan yang lebih semata-mata.
Tegas Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, projek pembangunan yang telah dipertanggungjawabkan harus digalas dengan penuh integriti berikutan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya berharap projek ini akan dilaksanakan dengan baik dalam masa yang telah ditetapkan, tidak memotong kos tanpa sebab dan pastikan pusat ini menjadi kebanggaan Sarawak menjelang 2027,” nasihat beliau pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tapak Projek Perfoming Arts Centre di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lama, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, bercakap mengenai pembangunan DUN Sarawak lama sebagai pusat seni persembahan, beliau memberitahu bahawa Majlis Seni Sarawak (MSS) telahpun ditugaskan untuk memartabatkan program pembangunan dan aktiviti kesenian di Sarawak.
Antara fokus utama menurut Abdul Karim adalah pusat seni persembahan yang merangkumi muzik, tarian, vokal dan teater, dan juga seni visual yang merangkumi lukisan, arca dan mural.
Beliau juga menegaskan pusat itu memfokuskan terhadap memartabatkan puisi, bahasa dan prosa selain membangunkan seni maya seperti animasi, videografi dan media sosial.
“Keperluan untuk mengubahsuai dan menaiktaraf bangunan DUN lama adalah penting bagi memenuhi keperluan pencinta seni di Sarawak memandangkan pada masa kini belum ada tempat khusus disediakan bagi tujuan ini.
“Saya berharap pusat ini tidak menjadi bangunan yang dibiarkan tanpa apa-apa aktiviti yang melibatkan orang ramai.
“Sesuatu aktiviti ataupun acara perlu diadakan sama ada setiap bulan, setiap dua minggu, ataupun sekali seminggu – ini adalah cadangan saya,” tambah Abdul Karim lagi.
Bangunan DUN lama telah dibina pada tahun 1973 dan dibuka secara rasmi oleh Yang di Pertuan Agong Tuanku Yahya Petra pada 17 Ogos 1976.
Bangunan tiga tingkat itu boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang, 160 kerusi untuk Persidangan DUN dan galeri untuk 224 orang.
Sejak tahun 1976, bangunan ini telah menjadi saksi kepada pelbagai sejarah yang telah menyumbang kepada kemajuan Sarawak sehinggalah Persidangan DUN yang terakhir diadakan pada tahun 2009, sebelum berpindah ke bangunan DUN yang baharu. – TVS
Sarawak bakal memiliki Pusat Seni Persembahan bertaraf antarabangsa