KUCHING, 2 Mei: Sektor perlombongan mempunyai potensi besar yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurutnya, menyedari potensi itu Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeRN) telah merancang dan melaksana pelbagai program sejajar dengan matlamat untuk meningkatkan sumbangan ekonomi sektor ini.
“Kita mahu tingkatkan sektor ini supaya ia dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi termasuk minyak dan gas yang sudah berkembang dengan maju,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi MUDeRN di sini, malam tadi.
Sehubungan itu, Awang Tengah berkata, pengurusan hutan juga perlu diperkasa supaya kawasan terlindung sepenuhnya dapat dijadikan sebagai produk ekopelancongan.
“Kita berjaya bangunkan pelan induk Sarawak Geopark yang mana sudah diiktiraf oleh peringkat nasional.
“Malah baru-baru ini (Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar) Datuk Len Talif Salleh telah ke Paris untuk memastikan usaha kita menjadikan Gua Niah sebagai salah satu daripada produk Tapak Warisan Dunia (UNESCO),” katanya.
Sebelum ini, Len Talif berkata Taman Negara Niah telah melepasi pemilihan kedua akhir di Paris, Perancis. – TVS