KUCHING, 2 Mei: Dalam memartabatkan industri seni persembahan ke peringkat yang lebih tinggi, bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lama akan dinaik taraf menjadi Pusat Seni Persembahan Sarawak dengan kos RM260 juta.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata peruntukan besar ini bagi memastikan kerja-kerja ubah suai, termasuklah peralatan termasuk sistem audio yang akan dipasang adalah yang termoden dan terkini.
“Sistem audio (yang kita akan gunakan) adalah yang terbaik di wilayah ini, kerana persembahan tidak memerlukan artis untuk memegang atau melekatkan mikrofon, malah kualiti bunyinya sangat semula jadi dan boleh didengar dari semua sudut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran dan Penyerahan Tapak Projek Pusat Seni Persembahan Sarawak di pekarangan bangunan DUN lama di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Abang Johari berkata lagi, Sarawak dapat memupuk lebih banyak bakat tempatan dengan kewujudan pusat seni bertaraf antarabangsa, malahan menjadi lokasi bagi artis-artis antarabangsa membuat persembahan.
Katanya, pelaburan untuk pusat seni ini dijangka akan memberi pulangan ekonomi yang lumayan kepada industri seni dan memberi kesan limpahan terhadap industri pelancongan.
Menjadikan Taylor Swift sebagai contoh, seorang artis terkenal yang telah menandatangani kontrak dengan artis Singapura bagi menjadikan negara tersebut sebagai satu hentian ‘The Eras Tour’.
“Artis seperti ini mempunyai peminat setia yang begitu ramai dan seperti yang kita lihat semasa Taylor membuat persembahan di Singapura, kesan pelancongannya begitu besar.
“Menjelang 2027, kita harap Sarawak akan bersedia untuk menerima artis-artis yang berkaliber seperti beliau dan yang lain kerana nilai spin off yang begitu tinggi, bukan sahaja dari segi kewangan malah juga nilai budaya,” tambahnya.
Kerja-kerja naik taraf bangunan itu dijangka siap pada 2007.
Pusat Seni Persembahan Sarawak ini akan menjadikan Royal Albert Hall di London sebagai rujukan dan satu pusat seni di Amerika Syarikat.
Berdasarkan pelan bangunan, pusat tersebut akan dilengkapi dengan dewan teater berkapasiti 528 orang, studio muzik, bilik rakaman, studio tarian, blackbox, dewan serbaguna berkapasiti 754 orang dan studio teater berkapasiti 134 orang.
Selain itu, bangunan Lapau yang terletak di sebelah bangunan DUN lama akan diubahsuai menjadi restoran mewah.
Pekarangan bahagian depan DUN pula akan dinaik taraf dan ia akan menelan kos RM60 juta.
“Pusat Seni Persembahan ini kita akan jadikan ia sebahagian daripada ekosistem pelancongan kita, disatukan dengan Muzium Kebudayaan Borneo, Jambatan Darul Hana, bas hidrogen dan sebuah galeri yang kita akan umum kelak,” ujarnya. – TVS