KUCHING, 2 Mei: Sarawak mempunyai sumber kayu yang banyak dan tidak perlu mengimport ia dari negara luar sekiranya menggunakan palet kayu bagi tujuan pengeluaran tenaga boleh diperbaharui.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pokok boleh ditanam bagi memastikan bekalan sentiasa ada dan mengekalkan pemuliharaan hutan.
“Kita (Sarawak) mempunyai loji jana kuasa yang menggunakan arang batu di Sejingkat dan Balingian ketika ini.
“Perkara yang perlu dilakukan sekarang ialah menukar penggunaan arang batu kepada sumber tenaga biojisim,” katanya berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Sarawak Energy Berhad (SEB) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Abang Johari menjelaskan Sarawak akan menggantikan dua loji kuasa menggunakan sumber arang batu di Sejingkat dan Balingian dengan sumber biojisim.
“Selepas mengadakan lawatan kerja ke Loji Janakuasa Drax, United Kingdom baru-baru ini, saya dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB telah berbincang mengenai pekara ini yang akan dilaksanakan di Sarawak,” jelasnya.
Antara tetamu kehormat yang turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Liwan Lagang. – TVS