SEPANG, 2 Mei: Lembaga Tabung Haji memberi jaminan akan memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia susulan perkembangan semasa bencana banjir kilat di Madinah.
Pengarah Eksekutif Haji Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata sebelum ini pihaknya berjaya menangani kesan banjir terhadap para jemaah haji.
“Pengalaman kita terhadap bencana seperti ini sudah kita lalaui sebelum ini, misalnya seperti tahun 2004, 2008, 2016 dan 2018 yakni ketika itu berlaku hujan yang lebat, kilat dan petir dan banjir.
“Adakalanya berlaku di Makkah, Arafah dan pernah juga berlaku di Mina. Tabung Haji mempunyai program pengurusan bencana yang kita praktikkan simulasi-simulasi,” katanya.
Syed Saleh berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Keberangkatan Petugas Haji Advance Party 1445H/ 2024 di sini, hari ini.
Pada Selasa, laman berita The New Arab melaporkan perkembangan semasa banjir yang melanda utara Arab Saudi.
Banjir dan hujan lebat yang melanda itu telah memaksa jalan ditutup dan sesi persekolahan dibatalkan. – TVS